KOTA SAMARAHAN: Tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia berdepan detik cemas selepas ambulans dinaiki mereka terlibat kemalangan berhampiran lampu isyarat Institut Tadbiran Awam Negara, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan semua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan.
Menurutnya, kemalangan membabitkan ambulans dinaiki mangsa dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Pasukan Keluaran Operasi bertindak mengeluarkan mangsa dari ambulans dengan membuka pintu bahagian penumpang, seterusnya ketiga-tiga mangsa turun menggunakan tangga dengan selamat.
“Setelah memastikan keadaan terkawal dan tiada bahaya di lokasi kejadian, pasukan bertolak balik ke balai,” jelasnya.
Dalam kes sama, kenyataan itu mengesahkan semua mangsa dari ambulans dan kereta terbabit berada dalam keadaan selamat.
Mengenai kemalangan tersebut, ambulans itu dilaporkan dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit sebelum terlibat dalam kemalangan.
Insiden mengakibatkan ambulans berkenaan rebah dan terbabas ke sebelah kanan.



