KUCHING: Skuad Piala Presiden Kuching City FC-Miri kempunan untuk meneruskan momentum kemenangan apabila tewas dengan jaringan (3-1) menentang AMD B-17 di padang bola sepak Kelab Rekreasi Petroliam (KRP) Lutong, Miri petang tadi.
Bintang pertahanan pelawat – Izzuddin Afif Nazarudin, punca kekalahan anak-anak buah Mohamad Hakimi Man apabila meledak hatrik menerusi gol dijaringkannya pada minit ke-15, 45(+2) dan 81.

Dalam keadaan ketua pasukan tuan rumah, Arif Iskandar Siri berjaya mereda tekanan seketika menerusi gol penyamaan dijaringkannya pada minit ke-33.
Namun, keceriaan tersebut tidak berpanjangan apabila kem kendalian Amarul Mazar Mohamed yang diberi tentangan sengit sepanjang perlawanan berjaya bangkit selepas itu.
Ia merupakan kekalahan pertama tuan rumah selepas melalui empat perlawanan setakat ini.
Aksi seimbang diperaga pemain kedua-dua pasukan diawal saingan.
Kuching City FC-Miri berpeluang untuk merapatkan jurang menerusi beberapa peluang yang dimiliki.
Biarpun kerap melancar serangan ke kubu pelawat namun gagal mengubah kedudukan (3-1) hingga ke wisel penamat.
Aksi seterusnya Kuching City FC-Miri akan menentang Sabah FC II di Stadium Penampang pada 21 Mei nanti.



