PENYANYI dan pelakon, Amira Othman memilih untuk tidak memberikan penjelasan lanjut berhubung spekulasi yang mengatakan dia bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Memetik Gempak, menurut Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 32, dia lebih selesa merahsiakan hal peribadi itu dan menyerahkan segalanya kepada takdir.
“Saya tidak berani berkongsi secara terperinci, tetapi doa yang baik-baik… kita aminkan.
Saya pun tidak tahu bagaimana takdir pada masa akan datang, yang baik-baik kita aminkan untuk semua.
“Insya-Allah semua berita adalah yang baik-baik.
Saya juga berharap anda mendengar berita yang baik-baik. Kita anak seni ini semua ada macam-macam cerita, jadi harap semua yang baik-baik untuk anda semua,” katanya.
Pelantun lagu Hati-Hati itu turut menegaskan, sekiranya hari bahagianya tiba, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
Bagaimanapun, jelasnya, spekulasi yang timbul setakat ini hanya gurauan daripada peminat.
“Tidak ada (bakal berkahwin).
Kalau sudah hampir pasti saya akan kongsikan, tetapi kita dengar macam-macam spekulasi.
Baru-baru ini ada yang meneka bulan Mei, tetapi saya ada persembahan di Johor.
Itu semua hanya spekulasi dan usikan daripada peminat,” ujarnya.



