Amukan Hagibis: 70 maut, 3,000 diselamatkan, 36 wilayah terjejas

TOKYO: Kerja pembersihan dan menyelamat memasuki hari ketiga pada Selasa selepas mangsa Taufan Hagibis membadai Jepun, mengorbankan hampir 70 orang setakat ini dan mengakibatkan kemusnahan yang meluas.

Hagibis membadai Jepun pada Sabtu malam, membawa angin kencang dan hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan berpuluh-puluh sungai melimpahi tebing.

Menjelang pagi Selasa, penyiar kebangsaan NHK meletakkan angka kematian hampir 70 dengan puluhan mangsa masih hilang. Kerajaan pula mengesahkan angka korban lebih rendah, tetapi mengatakan ia masih mengemas kini maklumat.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata tiada rancangan mengurangkan operasi penyelamatan yang membabitkan sekitar 110,000 anggota polis, pengawal pantai, bomba dan pasukan tentera. “Ketika ini di kawasan terjejas teruk, kerja menyelamat dan mencari mangsa yang hilang diteruskan sepanjang waktu,” kata Abe kepada parlimen.

Foto AFP

“Di kawasan yang sungainya banjir, kerja pemilihan dan penambakan tebing yang runtuh dilakukan dan air dipam keluar,” tambah beliau.

Pejabat Perdana Menteri berkata lebih 3,000 orang diselamatkan berikutan bencana yang menjejaskan 36 daripada 47 wilayah di negara itu.

Pejabat kerajaan memberi amaran lebih banyak hujan lebat dijangka berlaku sepanjang Selasa di beberapa bahagian negara yang terjejas oleh taufan itu. “Disebabkan hujan lebat, paras air di sungai meningkat dan tanah menjadi lembut di beberapa kawasan,” kata ketua kabinet Yoshihide Suga.

“Kami meminta orang ramai supaya terus berjaga-jaga dan menjaga keselamatan mereka,” tegas beliau kepada pemberita.

Menjelang pagi Selasa, kira-kira 34,000 isi rumah masih tanpa bekalan elektrik dan 133,000 rumah tiada bekalan air.

Kerajaan berjanji menawarkan sokongan kewangan kepada wilayah yang terjejas, tanpa menentukan jumlah bantuan yang diperuntukkan.

Suara Sarawak