BINTULU: Amyder Midey Drake dinobatkan sebagai Kumang Gawai Dayak Daerah Bintulu 2026 sempena majlis Mantar Gawai Peringkat Daerah Bintulu 2026 bertempat di Restoran Dinner World Bintulu, pada Ahad.
Kemenangan tersebut melayakkan gadis berusia 22 tahun itu membawa pulang hadiah berupa wang RM5,000 berserta piala, tiara, selempang, jambangan bunga dan sijil penyertaan.
Amyder turut membawa pulang hadiah RM1,000 selepas dipilih sebagai pemenang Anugerah Ngepan Pemadu Manah.
Gelaran Lulong Gawai Dayak Bintulu atau naib johan dimenangi oleh Amenlyn Laing, sekali gus menerima wang sebanyak RM3,000 serta piala, selempang, jambangan bunga dan sijil penyertaan selain memenangi Anugerah Pengelandik Kumang dengan membawa pulang hadiah wang bernilai RM700.
Manakala, Joyce Luna Kut meraih gelaran Selinggar Matahari Gawai Dayak Bintulu atau tempat ketiga untuk memenangi wang RM2,000 serta piala, selempang, jambangan bunga dan sijil penyertaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh isteri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datin Evelyn Ensanggai.
Seramai tujuh peserta menyertai pertandingan Kumang Gawai pada majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi.
Bertemakan Segulai Sejalai, majlis kali ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perayaan Mantar Gawai Dayak Daerah Bintulu yang diketuai Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan selaku pengerusi jawatankuasa pengelola.
Selain pertandingan Kumang Gawai, majlis makan malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan dan kebudayaan daripada pelbagai komuniti dan etnik Dayak serta nyanyian daripada penyanyi Iban tempatan, Karen Libau dan Ricky L.



