ARTIKEL

Amrizan menggembara bersama rakan di serata Semenanjung Malaysia dengan menaiki motosikal kesayangan masing-masing.

Anak Balingian takluk 1,600km Tanah Semenanjung guna skuter 160cc

Kembara Patriotik Bermotosikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR : Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menyemai bakti kepada masyarakat dan menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Bagi anak jati Kampung Balingian Sarawak, Amrizan Madian, semangat patriotiknya dizahirkan melalui kembara bermotosikal menggunakan skuter kesayangannya.

Bertugas sebagai Penolong Editor Kandungan di Bernama.com7, Amrizan memilih pendekatan kembara sama ada secara solo mahupun bersama rakan-rakan sebagai cara menghayati erti semangat kembara yang sebenar.

Menurutnya, melalui aktiviti kembara, beliau bukan sahaja dapat mengenali tempat orang dengan lebih dekat, malah dapat menikmati keindahan alam ciptaan tuhan sambil mengukir kenangan manis bersama rakan seperjalanan.

“Saya mungkin tidak dapat melupakan kenangan paling manis apabila berjaya menamatkan cabaran kembara bermotosikal sejauh 1,600 kilometer (km) dalam masa hanya 24 jam,” katanya kepada Suara Sarawak.

Lebih membanggakan, beliau hanya menggunakan skuter berkuasa 160cc untuk menyelesaikan cabaran ekstrem dikenali sebagai Iron Butt Ride, yang disertai sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lalu.

Cabaran itu disertai bersama rakan sekerjanya, Muhammad Shafiq Hashim, yang menunggang skuter berkuasa 500cc. Mereka memulakan misi pada jam 6.46 pagi, 26 Ogos lalu dari ibu negara dan menamatkannya keesokan hari pada jam 6.27 pagi.

Sepanjang perjalanan, mereka merentasi sembilan negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan dengan kelajuan purata 110 kilometer sejam.

Menurut Amrizan, kejayaan itu tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya hasil daripada perancangan teliti selama dua bulan termasuk pemilihan laluan, strategi masa serta mengambil kira faktor cuaca dan keselamatan.

“Bagi saya, kembara bermotosikal ini bukan sekadar menyeronokkan, tetapi memberikan ketenangan dan kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.

Beliau berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengejar sebarang imbuhan atau ganjaran, sebaliknya berpegang pada prinsip bahawa minat yang disalurkan ke arah positif mampu memberi manfaat kepada ramai.

Amrizan juga merupakan peneraju Kelab Motosikal Bernama (BMC) yang kini memiliki lebih 100 ahli berdaftar, terdiri daripada kakitangan dan bekas petugas agensi berita nasional tersebut.

BMC, menurutnya, bukan sahaja menjadi platform penyatuan peminat permotoran dalam kalangan warga media, malah turut aktif menganjurkan program patriotik dan kemasyarakatan seperti Kembara Merdeka dan Edaran Jalur Gemilang.

Antara program terdekat yang dirancang kelab itu adalah Kembara Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 November ini.

“Jika ada penajaan, kami bercadang untuk menjelajah seluruh negara tahun depan – dari Perlis hingga ke Sabah dalam program Ziarah Kasih Media Malaysia, bagi menziarahi bekas wartawan yang telah bersara dan kurang bernasib baik,” ujarnya.

BMC juga kini dalam usaha memperluas keahlian kepada peminat permotoran di luar Bernama menerusi inisiatif baharu dinamakan BMC Super Friends, yang bakal membuka penyertaan kepada masyarakat luar termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Selain menyemai semangat kesukanan dan silaturahim, BMC juga berperanan memperkukuh semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti bermotosikal yang bermanfaat dan penuh nilai kemasyarakatan,” tambahnya.

Dengan semangat patriotik dan komitmen tinggi terhadap pembangunan sosial, Amrizan dan BMC membuktikan bahawa minat terhadap motosikal bukan sekadar hobi, tetapi platform untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU