REMBAU: Anak bongsu kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan pelakon Ayu Raudhah meninggal dunia petang semalam.
Berita pemergian Muhammad Aisy Al Rees yang berusia enam bulan itu dikongsikan Mohamad Zaquan menerusi Instagram Story (IGs) miliknya.
“Salam semua, anak bongsu kami, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya, sebentar tadi. Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” katanya.
Tinjauan Bernama di pekarangan Unit Forensik Hospital Rembau setakat 10.30 malam mendapati selain ahli keluarga, beberapa rakan selebriti termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali turut hadir memberi sokongan kepada pasangan tersebut.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Makam Tuan Haji Said Seremban, hari ini.
Mohamad Zaquan dan Ayu Raudhah mendirikan rumah tangga pada 21 Jan 2011 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, serta anak keenam berusia dua tahun.
Muhammad Aisy Al Rees lahir pada 2 Ogos tahun lepas.– BERNAMA



