ARTIKEL

Dr Sim bercakap kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mendiang SN Debra Moset. FOTO RAMIDI SUBARI

Anak mendiang Debra tidak perlu bimbang kos ke universiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Anak mendiang jururawat SN Debra Moset, Euodia Then Suling, yang kini di Tingkatan Tiga tidak perlu bimbang mengenai kos melanjutkan pengajian ke universiti.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata anaknya hanya perlu memberi tumpuan kepada pelajaran dan peperiksaan bagi mencapai cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dr Sim (kiri) berbual dengan anak-anak mendiang SN Debra Moset, Euodia (tengah) dan Eugene Then Kuling (kanan). FOTO RAMIDI SUBARI

“Saya beritahu dia, kalau ada apa-apa yang diperlukan, ini nombor telefon saya dan dia boleh hubungi saya.

“Jangan risau. Apa yang perlu kamu fikirkan sekarang ialah peperiksaan dan bagaimana untuk masuk ke universiti. Mengenai kos universiti, kamu tidak perlu risau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Semadang, sejurus ketibaan jenazah mendiang Debra di kediaman keluarganya di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, pemergian Debra bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga, malah turut dirasai Sarawak kerana kehilangan seorang petugas kesihatan yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.

Katanya, perkara itu lebih dirasai ketika Sarawak masih menghadapi kekurangan doktor dan jururawat.

“Bukan sahaja kehilangan satu nyawa, tetapi kita kehilangan banyak kepakaran, terutama ketika kita memang kekurangan doktor dan jururawat.

“Setiap seorang daripada mereka sangat penting untuk Sarawak,” katanya.

Dr Sim berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada doktor, jururawat dan juruterbang yang selama ini berdedikasi menjalankan tugas menerusi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Katanya, perkhidmatan itu amat penting bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Dalam masa sama, Dr Sim berkata kerajaan perlu melihat langkah yang boleh diambil bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan luar bandar selepas laporan rasmi mengenai nahas berkenaan diperoleh.

Katanya, penggunaan teknologi seperti telekonsultasi, dron dan kecerdasan buatan (AI) boleh dipertimbangkan, selain penambahbaikan kemudahan jalan raya dan penambahan klinik.

“Teknologi seperti dron yang tidak tersedia 10 tahun lalu kini sudah ada. Kita juga perlu melihat penggunaan doktor dengan bantuan AI dan bagaimana teknologi ini boleh digunakan untuk bergerak ke hadapan.

“Telekonsultasi, dron, penambahbaikan jalan raya dan lebih banyak klinik, semuanya perlu dilihat semula,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan terhadap FDS tidak pernah dipersoalkan, sebaliknya pendekatan penyampaian perkhidmatan itu perlu terus ditambah baik.

“Kita tidak pernah mempersoalkan keperluan terhadap FDS. Persoalannya ialah bagaimana kita boleh menambah baik perkhidmatan itu,” katanya.

Dr Sim turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca nahas sehingga laporan rasmi siasatan dikeluarkan.

Katanya, sebarang langkah susulan perlu dibuat berdasarkan penemuan dan pandangan pakar bagi memastikan keselamatan serta perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar terus dipertingkatkan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU