Anak muda ceriakan OKU

KUCHING: Walaupun bukan berdiri sebagai persatuan, tujuh anak muda mewujudkan gerakan sukarelawan #jomukirsenyuman untuk membantu 20 OKU penglihatan di bandar raya ini.

Ketuanya Dayang Al-Nur Abang Sapuan, 29, berkata, melalui inisiatif itu, mereka mengagihkan barangan keperluan asas (makanan) dan wang tunai sempena Aidilfitri.

“Inisiatif #jomukirsenyuman ini dimulakan sejak 2018 untuk membantu keluarga kurang berkemampuan, OKU, ibu tunggal, warga emas, gelandangan dan ramai lagi golongan yang memerlukan.

“Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyaarat (PKPB), kami hanya menghulurkan sumbangan kepada OKU penglihatan di sekitar Kuching antaranya di kawasan MJC, Batu Kawah, Matang, dan 10 lagi penerima di Persatuan Orang Buta Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dayang Al-Nur berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban penerima dalam tempoh sukar (PKPB), terutama mereka yang tidak dapat memberikan khidmat urutan.

Menurutnya, dana pengagihan bantuan yang dilaksanakan sempena Syawal dan PKP Covid-19 itu merupakan sumbangan ahli keluarga, rakan sekerja termasuk rakan di seluruh negara.

“Kami berharap generasi muda lebih memahami konsep sukarela, bukan hanya mengikut pelawaan, mengharapkan ganjaran dan sekadar muat naik status di media sosial semata-mata,” tambahnya lagi.

Jelasnya lagi, masa merupakan cabaran yang turut menuntut komitmen tinggi pihaknya termasuk sukarelawan lain untuk merancang aktiviti secara berterusan.

“Namun ia akan menjadi lebih mudah dengan kerjasama daripada semua,” katanya yang turut menggunakan media sosial untuk mempromosikan usaha #jomukirsenyuman tersebut.

Tujuh anak muda di bawah inisiatif itu terdiri daripada Dayang Al-Nur (pegawai IT); Izzah Alia (ahli farmasi); Nadea Roslan (pegawai perubatan); Fikri Syafiq (pegawai farmasi); Mohd Izwan (pensyarah); Mohd Ishak (petugas sosial) dan Awang Rashid (jurutera perkhidmatan).