Bermula sebagai kadet di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Irfan Naushir kini membina kerjaya cemerlang sebagai kapten kapal dan memimpin operasi keselamatan maritim global bersama syarikat perkapalan antarabangsa.
Anak kelahiran Sarawak ini pada awalnya tidak pernah merancang untuk membina kerjaya di laut.
Beliau mengakui peluang melanjutkan pengajian di ALAM selepas tamat persekolahan menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya.
Pada awalnya, dunia maritim begitu asing baginya, namun disiplin latihan serta pengalaman sebagai kadet sedikit demi sedikit membentuk ketahanan mental dan keyakinan dirinya.
Seawal usia 18 tahun, beliau memulakan pelayaran pertamanya dari Bintulu ke Jepun, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya sebagai pelaut.
Bermula sebagai pegawai kapal, Irfan kemudiannya meniti pengalaman mengendalikan kapal LNG dan pelbagai operasi maritim.
Kehidupan di laut menuntut pengorbanan besar apabila beliau terpaksa berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan selain berdepan tekanan operasi tanpa mengira keadaan cuaca.
Irfan berjaya memperoleh lesen kapten pada usia 26 tahun sebelum dilantik sebagai kapten kapal pada 2022 ketika berusia 29 tahun, lebih pantas berbanding kebiasaan dalam industri maritim.
Sepanjang kerjayanya, Irfan pernah berkhidmat bersama dengan beberapa syarikat perkapalan antarabangsa termasuk MISC Berhad, Wilhelmsen Ship Management, Mitsui OSK Lines dan Seatrium.
Kini, selepas lebih tujuh tahun menghabiskan masa di laut, beliau meneruskan tanggungjawab dari daratan sebagai Pengurus Marin serta Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar dan Kualiti (HSEQ) dengan mengawasi operasi keselamatan, navigasi dan pengurusan kapal gas di seluruh dunia.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Irfan percaya peluang dalam sektor maritim kini semakin terbuka khususnya kepada anak muda Sarawak susulan perkembangan industri minyak, gas dan perkapalan negara.
Baginya, peluang yang hadir mampu mengubah kehidupan seseorang sekiranya dimanfaatkan sebaik mungkin.






