KUCHING: Dari bilik kuliah ke pentas antarabangsa, Dr Sunny Pui membuktikan latar belakang sebagai pendidik bukan penghalang untuk mencipta nama apabila dinobatkan sebagai Mister Celebrity Malaysia 2026, sekali gus menjadi anak Sarawak pertama menggalas gelaran berkenaan.
Lebih bermakna, pelantikan itu diumumkan pada 30 Ogos, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-69, sekali gus menyuntik semangat baharu buat pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Teaching English as a Second Language (TESL) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Sunny memberitahu bahawa beliau amat teruja dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili Malaysia pada pertandingan Miss and Mister Celebrity International 2026 yang dijadualkan berlangsung di China dari 13 hingga 21 Disember ini.
“Ini adalah hari yang sangat istimewa bagi saya kerana ia juga hari kebangsaan. Ia mengingatkan saya bahawa saya perlu berjuang, melakukan yang terbaik dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Pensyarah di Jabatan Bahasa, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) itu berkata, pemilihannya sebagai Mister Celebrity Malaysia 2026 dibuat secara terus (handpicked) oleh pihak penganjur berdasarkan pencapaian dan penglibatannya dalam pertandingan Mister Native Borneo 2025.
Menurutnya, pihak International Celebrity Pageant Group melihat pencapaiannya, termasuk keupayaan membawa diri serta mengetengahkan budaya tempatan sebelum memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili Malaysia.

“Sebelum ini saya menyertai Mister Native Borneo 2025 dan meraih 4th Runner-Up serta memenangi Head-to-Head Challenge. Pencapaian itu antara yang membuka ruang kepada saya untuk dipilih mewakili Malaysia,” katanya.
Bagi memastikan persediaannya berada pada tahap terbaik, Sunny kini menjalani latihan secara konsisten bersama pasukannya, Ahmad Thawfiq Talent (AMT), merangkumi latihan soal jawab, persediaan pakaian, sesi fotografi, penjagaan pemakanan dan latihan di gimnasium.
Katanya, cabaran utama yang perlu diberi perhatian adalah memastikan keunikan Malaysia dapat diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa, terutama dari aspek budaya, makanan dan kepelbagaian masyarakat.
“Saya mahu menunjukkan apa yang istimewa dan unik tentang Malaysia kepada dunia kerana setiap tempat mempunyai makanan dan budaya tersendiri. Saya percaya kekuatan Malaysia adalah kita meraikan perpaduan dalam kepelbagaian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sunny menegaskan bahawa beliau mahu menggunakan pentas antarabangsa berkenaan bukan sekadar untuk mengejar gelaran, sebaliknya sebagai platform memperkenalkan identiti dan kekayaan budaya Malaysia kepada dunia.
Pertandingan Miss and Mister Celebrity International 2026 bakal menghimpunkan wakil dari beberapa negara termasuk Malaysia, Kemboja, Venezuela, Sepanyol dan Republik Dominika, dengan pelbagai gelaran utama serta anugerah sampingan dipertandingkan.
Antara gelaran yang ditawarkan termasuk Mister Celebrity International Winner, Ambassador, naib juara pertama dan kedua, selain gelaran benua bagi Asia, Afrika, Eropah dan Amerika serta anugerah seperti Influential Nation of the Year, People’s Choice, KOL, Best National Costume, Best Swimsuit dan Best Evening Gown/Tuxedo.
Sunny yang turut aktif berkongsi perjalanan dan persediaannya menerusi media sosial berharap sokongan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak, dapat mengiringi perjuangannya untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Beliau turut menyifatkan pelantikannya sebagai satu amanah untuk membuktikan bahawa pencapaian seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan penampilan semata-mata, selari dengan aspirasi International Celebrity Pageant Group yang mengangkat keterangkuman, kelestarian alam sekitar melalui kempen “Zero Waste” serta kesamarataan dan antikeganasan menerusi prinsip “Zero Hate”.





