ARTIKEL

KENANGAN… Abang Johari merakam gambar bersama-sama Su Chung (kanan) pada kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Anak Sarawak takluk Everest

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pada usia 60 tahun, Wong Su Chung membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya melakar sejarah sebagai rakyat Sarawak pertama menawan Gunung Everest.

Kejayaan ini dicapai pada Mei 2024, sekali gus mengangkat nama Sarawak di pentas antarabangsa melalui pencapaian luar biasanya dalam dunia pendakian ekstrem.

Tidak terhenti di situ, beliau turut melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila menamatkan Ekspedisi Dwi Antartika melibatkan pendakian Gunung Vinson dan ekspedisi ski sejauh 111 kilometer ke darjah terakhir Kutub Selatan.

Kejayaan ini berjaya menempatkan beliau sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan Ekspedisi Dual Antartika dan melayakkan beliau direkodkan dalam The Malaysian Book of Records.

MENARIK… Abang Johari menandatangani bingkai gambar Su Chung ketika berjaya dalam Ekspedisi Dwi Antartika pada kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
FOTO: PEJABAT PREMIER SARAWAK

Kongsi Wong, setiap pendakian dan ekspedisi yang disertai bukan untuk mengejar trofi, namun proses untuk mentakrif semula batas kemampuan manusia dengan disiplin, ketabahan dan kecekalan.

“Sepanjang penyertaan saya dalam aktiviti pendakian dan ekspedisi ini, saya sentiasa mengatasi cabaran. Menawan Gunung Everest bukan kerana saya luar biasa, tetapi kerana saya mengikut pimpinan Tuhan.

“Selangkah demi selangkah, walaupun banyak halangan, saya dapat menamatkan perjalanan itu dan pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada kunjungan hormat bersama Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Falsafah beliau ialah untuk kekal tenang menghadapi masalah, selain menilai keadaan secara rasional, menyesuaikan diri dan terus melangkah ke hadapan menjadi pegangan beliau selama ini.

Beliau juga berharap kisah perjalanannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda agar tidak mudah berputus asa walaupun berdepan cabaran hidup yang berat.

“Bagi saya, makna kehidupan bukan terletak pada perbandingan dengan orang lain, tetapi pada usaha untuk terus mara dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Selepas melalui semuanya, saya benar-benar merasakan ini ialah satu perjalanan yang penuh dengan rahmat Tuhan.

“Dalam cabaran yang amat sukar ini, saya berkali-kali mengalami bagaimana Tuhan membantu dan membimbing saya,”katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU