Anak S’wak bakal ke Bayern Munich

ANAK Sarawak, Zaifudin Seruji merupakan antara 10 pemain dari Malaysia yang dipilih untuk mengikuti Kem Explorer Allianz (AEC) Asia di Singapura pada 23 hingga 26 Julai ini.

Ini bermakna, Zaifudin mempunyai peluang untuk menyertai latihan bersama pasukan remaja Bayern Munich selepas berjaya memikat hati jurulatih dalam saingan Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) 2019.

Pemain tersebut, daripada program di bawah bimbingan bekas pemain antarabangsa yang juga jurulatih skuad Selangor bawah 21 tahun, K. Gunalan.

Selain Malaysia, pemain dari Indonesia, Sri Lanka, Singapura, Filipina, China, Laos dan Taiwan akan turut menyertai Kem AEC Asia bagi memburu slot berlatih dengan kelab utama Jerman itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata dua daripada pemain Malaysia yang berjaya menampilkkan kemahiran semasa kem tersebut di Singapura, berpeluang mendapatkan latihan yang dikendalikan oleh jurulatih remaja Bayern Munich, Saebener Strasse.

Seramai 1,602 pemain berusia antara 14 hingga 16 tahun telah menyertai Liga AJFC Malaysia tahun ini yang bermula Mac lalu mengikut enam zon iaitu Zon Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Pada final Liga AJFC Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Subang Jaya, dekat sini, hari ini, pasukan Zon Pantai Timur menewaskan Zon Utara 2-1.

Kedua-dua gol Zon Pantai Timur dijaringkan oleh Adam Alif Mustafa seawal minit pertama dan ke-18 manakala gol Zon Utara dijaringkan oleh Muhammad Ismat Imran Zainal pada minit ke-35.