ARTIKEL

Steven mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing merasmikan Forum Anti Dadah anjuran Persatuan Hin Hua Bintulu.

Ancaman dadah moden semakin membimbangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kewujudan pelbagai bentuk dadah moden yang dibungkus menyerupai gula-gula, minuman, makanan ringan serta rokok elektronik kini menjadi ancaman baharu yang semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing berkata, perkembangan teknologi dan penyebaran maklumat tanpa sempadan turut membuka ruang kepada sindiket dadah memperdaya golongan muda melalui pelbagai taktik licik termasuk menawarkan ganjaran wang mudah dan gaya hidup mewah.

Menurut beliau, ramai anak muda hari ini mudah terpengaruh dengan budaya ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa menyedari kesan buruk yang bakal ditanggung sekiranya terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Sebahagian dadah sintetik yang beredar ketika ini tidak lagi kelihatan seperti dadah konvensional. Ada yang dibungkus menyerupai gula-gula, minuman dan produk elektronik seperti vape sehingga sukar dikenal pasti.

Steven merakam gambar bersama jawatankuasa penganjur dan peserta Forum Anti Dadah anjuran Persatuan Hin Hua Bintulu.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana golongan remaja dan pelajar sekolah mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng pada Forum Anti Dadah anjuran Persatuan Hin Hua Bintulu, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, terdapat juga bahan terlarang yang boleh menyebabkan pengguna mengalami gangguan mental, hilang kawalan diri serta bertindak di luar kawalan sehingga mengancam keselamatan awam.

Malah, beliau menambah, dalam beberapa kes, individu yang berada di bawah pengaruh dadah didapati gagal mengawal tindakan mereka walaupun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan insiden lebih serius.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan individu, malah boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial termasuk jenayah, keganasan rumah tangga, kecurian dan keruntuhan institusi keluarga.

“Ramai yang bermula hanya kerana ingin mencuba sekali, namun akhirnya terjebak dalam ketagihan sehingga merosakkan masa depan sendiri dan memberi penderitaan kepada ahli keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, pihak sekolah, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat agar memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik serta memantau golongan muda supaya tidak mudah terjebak dalam gejala negatif.

Tegasnya, pendidikan bermula dari rumah dan ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu mengenai pergaulan, tingkah laku serta perubahan emosi anak-anak.

Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran wang mudah yang akhirnya hanya membawa kepada kehancuran hidup, hukuman penjara dan penyesalan berpanjangan.

Menurut beliau, usaha membanteras dadah tidak boleh digalas agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan generasi muda dapat membesar dalam persekitaran yang lebih sihat, selamat dan bebas dadah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU