SERANGAN siber kini bukan lagi sekadar ancaman ke atas sistem komputer, data peribadi atau institusi kewangan, sebaliknya mampu melumpuhkan operasi harian yang selama ini dianggap biasa dan selamat.
Satu malam, ratusan pasar raya di Perancis menjadi sasaran serangan siber secara serentak.
Bukan menyasarkan data peribadi pekerja atau akaun syarikat, tetapi sesuatu yang di luar fikiran iaitu sistem peti sejuk pasar raya.
Kejadian yang berlaku pada Oktober lalu itu menjejaskan banyak pasar raya di Perancis apabila suhu peti sejuk dinaikkan secara tidak normal.
Keadaan tersebut memaksa sesetengah premis membuang keseluruhan stok makanan yang rosak, sekali gus mengakibatkan kerugian dan pembaziran makanan.
Ia membuktikan ancaman serangan siber boleh berlaku dari pelbagai arah melalui celah kelemahan dalam sistem Internet.
Lebih membimbangkan, serangan seumpama itu bukan hanya berlaku di Perancis, malah merebak ke beberapa negara Eropah lain.
Berpuluh-puluh pasar raya di negara Eropah dilaporkan terjejas akibat serangan siber yang menyasarkan sistem peti sejuk dan unit pembeku mereka.
Menurut laporan media, penggodam hanya menukarkan unit penyejat kepada mod nyahbeku sehingga menyebabkan peningkatan suhu. Kaedah sama digunakan dalam serangan ke atas pasar raya di Perancis sebelum ini.
Lebih banyak kerugian dan pembaziran berlaku di banyak kawasan.
Siapa pelaku? Apa motif? Adakah bertujuan untuk ugutan atau sekadar sabota?
Persoalan tersebut masih belum dapat dijelaskan.
Namun yang pasti, penggodam tersebut membuktikan serangan siber boleh datang dari pelbagai arah dan perkara di luar jangkaan.
Situasi ini menunjukkan bagaimana kemudahan yang bergantung kepada sambungan Internet boleh menjadi sasaran serangan siber.
Mengimbil konsep ‘rumah pintar’ kini membolehkan pelbagai peralatan di rumah dikawal hanya di hujung jari dengan bantuan Internet.
Peti sejuk, lampu, kamera litar tertutup (CCTV), pagar rumah, malah mesin basuh pun terdedah dengan risiko digodam sekiranya sistem keselamatan siber lemah.
Jika negara maju seperti Perancis dan negara-negara Eropah berdepan ancaman sedemikian, Malaysia juga tidak boleh memandang ringan risiko keselamatan siber yang semakin berkembang.
Di Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) merekodkan sebanyak 5,110 insiden keselamatan siber bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding 5,837 insiden pada tahun lepas.
Ketua Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, jumlah insiden yang lebih tinggi pada tahun lepas sebahagian besarnya didorong percubaan pencerobohan dan potensi serangan yang berjaya dikesan lebih awal.
Selain itu, beliau berkata, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) NACSA turut mengeluarkan sembilan amaran dan nasihat keselamatan (alert dan advisory) dalam tempoh Oktober dan November tahun ini berhubung kerentanan keselamatan yang memberi kesan kepada entiti infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dan agensi kerajaan.
Dalam konteks Sarawak pula, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Strategi dan Pelan Hala Tuju Keselamatan Siber Sarawak (SCSR) 2030 sebagai usaha memperkukuh keselamatan serta daya tahan ekosistem digital yang semakin berkembang.
Dibangunkan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA), SCSR 2030 membawa visi “A Secure and Trusted Foundation for Sarawak’s Digital Economy” dengan menyediakan hala tuju strategik bagi memperkukuh keselamatan, daya tahan dan kepercayaan ke atas ekosistem digital negeri.
Pelan lima tahun itu merangkumi 18 inisiatif strategik yang digerakkan menerusi lima tonggak utama, iaitu melindungi aset maklumat strategik Sarawak; melindungi masyarakat, perniagaan dan komuniti; membangunkan bakat serta meningkatkan kapasiti; memperkukuh tadbir urus dan kerangka operasi; serta memperluas kerjasama strategik.
Namun, pelancaran sesuatu strategi sahaja tidak memadai. Pelaksanaannya harus disusuli tindakan berterusan, pemantauan rapi dan kesedaran masyarakat.
Pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan keselamatan siber kerana semakin banyak urusan harian, perkhidmatan awam dan kemudahan kini bergantung kepada teknologi serta rangkaian Internet.
Justeru, keselamatan Internet penting untuk memberi keyakinan kepada masyarakat dalam meneroka dan memanfaatkan kemudahan digital.
Serangan ke atas sistem peti sejuk pasar raya di Eropah seharusnya menjadi peringatan untuk kita memperkukuh keselamatan siber.




