ARTIKEL

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman ketika Perhimpunan Bulanan IPD Bau, hari ini.

Anggota bertugas di kaunter aduan wajib terima aduan awam – KPD Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya anggota yang bertugas di kaunter aduan didapati tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, setiap anggota yang ditugaskan adalah wajib menerima serta mengendalikan semua laporan atau aduan orang awam tanpa prejudis selaras dengan prosedur dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

“Dalam aspek perkhidmatan pelanggan khususnya di kaunter aduan, saya memandang serius sebarang isu atau tohmahan bahawa laporan orang awam tidak diterima.

“Sebarang kegagalan mematuhi arahan ini akan diambil perhatian serius dan tindakan sewajarnya akan dikenakan. Kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula di kaunter hadapan,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hari ini.

Selain itu, Mohd Haide berkata, IPD Bau terus memberi fokus yang menyeluruh dan berterusan dalam menangani jenayah harta benda khususnya kes kecurian kenderaan yang menunjukkan trend membimbangkan di Daerah Bau dan secara amnya di Zon Selatan.

“Pendekatan operasi bersepadu melalui operasi sempadan serta sekatan jalan raya di laluan strategik perlu terus diperkasakan bagi tujuan pencegahan pengesanan awal dan tindakan pantas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta memutuskan rantaian bekalan bahan terlarang ke Daerah Bau akan diteruskan secara agresif dan berfokus melalui risikan operasi bersasar dan tindakan bersepadu.

Mohd Haide menambah, kempen kesedaran awam berkaitan jenayah penipuan atau scam yang semakin meningkat juga akan terus diperkasakan melalui pendekatan advokasi hebahan maklumat dan penglibatan aktif komuniti.

Di samping itu, beliau berkata, perhatian serius turut diberikan terhadap aktiviti samseng jalanan dan ketidakpatuhan undang-undang lalu lintas melalui pelaksanaan operasi berfokus secara konsisten dan sistematik.

“IPD Bau beriltizam untuk terus memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam melalui penguatkuasaan yang berkesan kawalan sempadan yang mantap, serta pendekatan pencegahan jenayah berasaskan risikan dan teknologi disokong oleh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haide berkata, indeks jenayah di Daerah Bau mencatatkan penurunan sebanyak 13.9 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2025 hasil penugasan lapangan yang berkesan pendekatan proaktif serta peningkatan kehadiran polis melalui konsep ‘Omnipresent’.

“Walaupun pencapaian ini membanggakan, IPD Bau tidak akan berasa selesa. Usaha membanteras jenayah harta benda, penyalahgunaan dadah, penipuan dalam talian, serta samseng jalanan akan terus diperkasakan melalui operasi bersepadu, risikan berfokus, dan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta komuniti setempat,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU