PADAWAN: Suasana hiba menyelebungi majlis pengebumian salah seorang anggota ‘Ring Ladies of Kampung Semban’ Nyukan Yan, 82, di tapak pengebumian Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) Kampung Semban, hari ini.
Upacara sembahyang pengebumian mendiang yang juga dikenali sebagai Muk Torres di rumah anak lelakinya dihadiri oleh ratusan penduduk kampung beserta ahli keluarga sebelum mayat dibawa ke tapak perkuburan kira-kira 10 pagi.
Kehadiran penduduk sekali gus mengundang suasana hiba, jelas mereka turut terasa dengan kehilangan pertama besar budaya warisan Bidayuh yang terdapat di Kampung Semban.
Cuaca redup sepanjang pengebumian dijalankan.

Upacara pengebumian lancar sebelum para tetamu dan ahli keluarga beredar meninggalkan tapak perkuburan.
Difahamkan, majlis pengebumian dilaksanakan mengikut kepercayaan paganisme.
Mendiang dipercayai menganut kepercayaan paganisme dengan mengamalkan penyembahan Tuhan Alam.
Terdahulu, Nyukan Yan disahkan meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anak perempuannya di Kampung Semban Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) pada 5 pagi.
Mendiang Nyukan mempunyai tujuh anak, 13 cucu dan 27 cicit.
Kumpulan ‘Ring Ladies’ terkenal dengan pemakaian ‘ruyank’ng’ dan ‘rasunk’ng’ yang menonjolkan budaya tersendiri Bi’embhan iaitu subetnik Bidayuh dari Ulu Bengoh di Sarawak.
‘Ruyank’ng’ dan ‘rasunk’ng’ ialah gelang tembaga yang dipakai masing-masing pada lengan bawah dan betis.
Gelang ini secara tradisinya dianggap megah bagi wanita Bidayuh dengan memakainya pada usia muda.
Keunikan tradisi ini telah diberi penghormatan menerusi lukisan mural di pusat beli-belah di Kota Padawan yang bertajuk ‘Dayung Hmuai Semban’ atau ‘Wanita Cantik Semban’ yang dilancarkan pada 14 Disember 2020.
Mural terbabit hasil nukilan Leonard Siaw yang dihasilkan menerusi cetusan idea tayangan dokumentari buatan Sarawak ‘The Last Ring Ladies’ di saluran penyiaran antarabangsa NHK (Jepun), KBS (Korea) dan PTS (Taiwan) pada Ogos 2019.




