KUCHING: Lelaki yang tular di media sosial selepas berguling-guling di atas jalan raya disahkan tidak dipengaruhi dadah.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki berkenaan menunjukkan keputusan negatif.
Menurutnya, ujian menggunakan Initial Visual Drug Detection (IVDD) turut menunjukkan keputusan negatif.
“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan dan kediamannya tidak menemukan sebarang barang salah,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata setakat ini, tiada rekod jenayah lampau dikenal pasti terhadap lelaki itu berdasarkan semakan yang dijalankan.
Terdahulu, Barry berkata pada kira-kira jam 1.30 petang hari ini, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu di kediamannya di Batu Kitang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada 31 Oktober lalu, kira-kira jam 9 pagi di simpang Kedai 688, Jalan Batu 4½ di sini.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, lelaki berkenaan yang menunggang sebuah motosikal dan bekerja sebagai penghantar makanan dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta.
“Susulan kejadian itu, lelaki berkenaan dilaporkan mengalami kesakitan pada seluruh badan.
“Keadaan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakannya seperti yang dipaparkan dalam video tular berkenaan,” katanya.




