KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyantuni keluarga kakitangan Majlis Seni Sarawak (MSS) yang meninggal dunia bagi menyampaikan sumbangan khairat serta manfaat perlindungan insurans.
Dua kakitangan berkenaan ialah Allahyarham Mohamad Arawi Mat Nor, 45, yang meninggal dunia pada 27 Oktober lalu dan Allahyarham Sulaiman Tuah, 54, yang meninggal dunia pada 11 Oktober lalu.
Abdul Karim berkata, setiap keluarga menerima manfaat perlindungan insurans berjumlah RM5,000 menerusi skim Group Hospital & Surgical (GHS) Insurance bagi membantu menampung perbelanjaan pengurusan jenazah.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan khairat peribadi sebanyak RM500 kepada setiap keluarga, manakala warga MSS turut menghulurkan sumbangan khairat sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan.
Katanya, pemergian kedua-dua Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga, malah seluruh warga MSS, khususnya rakan-rakan seperjuangan yang telah lama berkhidmat bersama mereka.
Kedua-duanya mula berkhidmat sebagai kakitangan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) pada 3 Januari 2011 di bawah Unit Pembangunan Kebudayaan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak sebelum meneruskan perkhidmatan bersama MSS.
Dalam pada itu, keluarga Allahyarham Sulaiman turut menerima pembayaran emolumen bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober 2026 berjumlah RM1,416.98 yang akan disalurkan mengikut tatacara kewangan dan peraturan berkuat kuasa.
Abdul Karim berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga kedua-dua Allahyarham dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Menurutnya, kebajikan kakitangan dan keluarga mereka sentiasa menjadi perhatian, manakala sumbangan yang disampaikan merupakan tanda penghargaan terhadap khidmat bakti mereka kepada organisasi serta pembangunan seni dan kebudayaan Sarawak.




