KUCHING: Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) dalam usaha strategik meningkatkan ketelusan sektor awam serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
Perjanjian dimeterai Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan akademi yang berpangkalan di Austria itu memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan serta pembangunan profesional dalam bidang tadbir urus dan pencegahan rasuah.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama berkaitan integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus, khususnya melalui pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan serta pembangunan profesional.
“Kerjasama ini berpotensi meletakkan Sarawak sebagai hab global bagi integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah pada masa hadapan, selain meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh reputasi Sarawak.
“Tahniah kepada UNIONS, Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) dan IACA atas inisiatif yang membanggakan ini, selain merakamkan penghargaan kepada semua penceramah dan peserta atas sumbangan berharga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau Sarawak (SRGLP) di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Sementara itu, majlis menyaksikan MoU ditandatangani Pengarah UNIONS, Wan Mohamad Wan Drahman, dan Dekan IACA, Drago Kos.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari menegaskan bahawa isu rasuah dan cabaran tadbir urus tidak semestinya terbatas kepada sempadan organisasi atau negara.
Sehubungan itu, katanya, usaha mempelajari pengalaman bidang kuasa lain serta berkongsi kepakaran dapat membantu penjawat awam memahami risiko baharu dan pendekatan berkesan untuk menanganinya.
“Melalui kerjasama dengan IACA, peserta akan didedahkan kepada pengalaman antarabangsa serta pendekatan praktikal.
“Saya menggalakkan mereka menilai pengajaran tersebut secara kritis dan mempertimbangkan kesesuaiannya untuk disesuaikan dengan kerangka perundangan, susunan institusi serta keutamaan pembangunan Sarawak,” katanya.
Menurutnya lagi, integriti merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan peranan kerajaan, sektor perniagaan, pekerja, badan profesional, masyarakat sivil dan rakyat dalam menggalakkan amalan beretika serta akauntabiliti.
“Keyakinan masyarakat dapat diperkukuh apabila kebimbangan disuarakan secara bertanggungjawab dan ditangani menerusi proses yang adil serta boleh dipercayai,” katanya.
Jelasnya, pembangunan Sarawak perlu seiring dengan keupayaan institusi mengurus sumber secara berhemah, melaksanakan kuasa dengan penuh tanggungjawab serta menunaikan komitmen kepada rakyat.
“Marilah kita membina budaya yang mengamalkan integriti, menuntut akauntabiliti serta menjadikan tadbir urus baik sebagai asas kepada kemajuan yang bermakna.”




