SELANGAU: Seorang lelaki terselamat selepas pikap yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter di Batu 62, Jalan Balak Sepiring di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa berusia 45 tahun hanya mengadu sakit dada.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau telah dikerahkan ke lokasi sejurus pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 2.58 petang.
“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan menggunakan sistem tali penyelamat untuk membawa mangsa naik ke atas.
“Mangsa berjaya dibawa naik ke atas jalan balak pada jam 4.39 petang,” katanya.
Beliau berkata mangsa seterusnya akan diserahkan kepada pihak ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk dibawa ke hospital berdekatan.





