BINTULU: Penganjuran Hari Golf Wanita Kelab Golf Bintulu 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh penglibatan wanita dalam sukan golf, selain membuka peluang kepada usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu dari Bintulu.
Presiden Kelab Golf Bintulu, Johnny Pang Leong Ming, berkata program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan wanita bergiat aktif dalam sukan berkenaan, malah menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan persahabatan serta berkongsi minat dalam suasana santai dan mesra.
Beliau berkata, lebih banyak aktiviti golf khusus untuk wanita wajar dianjurkan pada masa hadapan bagi menarik penyertaan lebih ramai wanita, termasuk golongan muda, sekali gus memperluas asas pembangunan sukan golf di Bintulu.
Menurutnya, Bintulu mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai pemain golf berkaliber, sebagaimana dibuktikan menerusi kejayaan Ashley Lau yang berjaya mewakili Malaysia pada temasya Olimpik.
“Kejayaan Ashley Lau di pentas Olimpik membuktikan bahawa Bintulu mempunyai potensi melahirkan pemain golf yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap lebih ramai bakat baharu dapat dicungkil dan diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka dalam sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Golf Wanita Kelab Golf Bintulu 2026 di kelab berkenaan pada Ahad.

Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur atas komitmen dan usaha memastikan program berkenaan berjalan lancar serta berjaya menghimpunkan pemain golf wanita.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar pembukaan rumah kelab baharu KGB dapat memberikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada ahli kelab serta keluarga.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja menjadi tempat untuk ahli berehat selepas bermain golf, malah berperanan sebagai ruang pertemuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan membina komuniti kelab yang lebih erat.
Beliau berharap pemain golf wanita akan terus aktif menjalani latihan, meningkatkan kemahiran serta mengekalkan minat terhadap sukan itu.
Katanya, penyertaan dalam aktiviti golf bukan semata-mata berorientasikan kemenangan, sebaliknya turut memberi peluang kepada pemain menikmati pengalaman bersukan, membina keyakinan diri dan mengukuhkan jaringan persahabatan.
Penganjuran Hari Golf Wanita Kelab Golf Bintulu 2026 mencerminkan komitmen Kelab Golf Bintulu dalam menyokong penyertaan wanita dalam aktiviti sukan, selain menyemarakkan pembangunan golf sebagai salah satu bidang sukan yang berpotensi melahirkan atlet berprestasi tinggi dari Bintulu, tambahnya.




