KOTA SAMARAHAN: Berdiri di pentas konvokesyen untuk menerima skrol kedoktoran suami yang telah tiada bukanlah detik mudah bagi seorang isteri, apatah lagi kejayaan itu merupakan hasil perjuangan panjang arwah suami yang berusaha menamatkan pengajian meskipun bergelut dengan masalah kesihatan.
“Sedih dan bangga,” demikian luahan Fazreena Dollah, 37, yang mewakili suaminya, Allahyarham Dr Md Mahbubur Rahman, bagi menerima skrol kedoktoran secara anumerta pada Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang Pertama, pagi tadi.

Katanya, perasaan bangga menerima pengiktirafan itu bercampur-baur dengan kesedihan kerana insan yang sepatutnya meraikan kejayaan berkenaan tidak lagi berada di sisi, selepas menghembuskan nafas terakhir pada 21 September lalu.
“Sudah tentu saya berbangga bagi pihak arwah suami untuk menerima anugerah ini. Saya dedikasikan kejayaan ini buat keluarga kami, sama ada yang berada di luar negara mahupun di Malaysia, serta buat arwah sendiri,” katanya ketika ditemui di UNIMAS, hari ini.
Tambahnya, Allahyarham berasal dari Dhaka, Bangladesh, berusia 53 tahun ketika meninggal dunia dan sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang Kajian Ekonomi di UNIMAS.
Lebih menyentuh hati, menurutnya, Allahyarham tetap berusaha menyelesaikan pengajian meskipun menghadapi masalah kesihatan kerana menghidap penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang.
“Arwah memang berjuang untuk menamatkan pengajian. Walaupun sakit, tetapi masih sanggup berjaga hingga larut malam untuk menyiapkan tugasan.
“Itulah antara usaha dan kesungguhan yang saya lihat sepanjang arwah suami saya berjuang mendapatkan gelaran doktor falsafah,” ujarnya.
Fazreena memberitahu, arwah suaminya juga menghembuskan nafas terakhir ketika bersedia menjalani prosedur dialisis melalui leher.
Mengimbas kembali perjalanan mereka, Fazreena berkata, beliau sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada suaminya agar tidak berputus asa, khususnya dalam memenuhi harapan arwah ibu mentuanya untuk melihat Allahyarham bergelar doktor falsafah.
“Saya selalu pesan supaya suami menghabiskan pengajian dan terus kuat. Saya juga ingatkan bahawa ini amanah daripada ibunya yang mahu melihat arwah mendapat gelaran doktor falsafah.
“Alhamdulillah, akhirnya arwah berjaya mencapai impian itu hari ini,” jelasnya.
Meneruskan cerita, Fazreena memaklumkan bahawa berita mengenai Allahyarham sebagai penerima skrol kedoktoran pada konvokesyen tahun ini diterima melalui panggilan telefon daripada UNIMAS, sekali gus mengundang rasa sebak kerana pemergian suaminya masih terlalu baharu.
Beliau berkata, sepanjang hayat, Allahyarham turut meninggalkan pesanan agar dirinya sentiasa kuat, menjaga diri dan meneruskan perniagaan yang diusahakan bersama.
“Arwah selalu berpesan supaya saya kuat, jaga diri dan jaga perniagaan. Beliau juga mengingatkan saya supaya bijak membawa diri serta tidak membiarkan orang lain menyakiti saya.
“Itu antara pesanan yang akan saya pegang,” katanya lagi.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, iaitu Nurfathia Umairah yang kini berusia 11 tahun.
Fazreena yang berasal dari Kuching berkata, buat masa ini beliau belum mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan meneruskan perniagaan yang diusahakan bersama Allahyarham.
Bagaimanapun, Fazreena tidak menolak kemungkinan untuk menyambung pengajian pada masa hadapan.




