KUCHING: Tujuh program utama yang menampilkan seni, warisan budaya dan tradisi masyarakat asal Borneo bakal menjadi tarikan utama Festival Orang Asal Borneo (BIF) 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, dari 12 hingga 15 November ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata festival selama empat hari itu akan menghimpunkan pelbagai persembahan kebudayaan, seni tradisional, sesi perkongsian ilmu serta produk industri kreatif, selain menyediakan platform untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Borneo kepada generasi muda.
“Festival ini bukan sekadar mengetengahkan seni dan warisan budaya kita, tetapi juga memelihara serta memperkasakan tradisi ini supaya dapat diwariskan kepada generasi muda,” katanya pada sidang media BIF 2026 di Bangunan Baitulmakmur Dua, di sini, hari ini.
Beliau berkata, acara itu turut menjadi medan pertemuan masyarakat pelbagai etnik, penggiat seni, pengamal budaya, institusi pendidikan dan komuniti kreatif untuk membina jaringan serta meneroka peluang kerjasama.
Tujuh program utama tersebut ialah Sidang Keilmuan, Echoes of Borneo, Festival Tarian dan Lagu Tradisional Melayu Sarawak (FTLA) ke-36, Ngelakar Seni Premium, Ruai Sarawak, Mini Show dan Market Seni.
Program pertama, Sidang Keilmuan, akan berlangsung dari 12 hingga 14 November, bermula 9 pagi hingga 5 petang, dengan memberi tumpuan kepada ilmu, kemahiran dan pembangunan profesional dalam bidang tarian, teater, muzik serta seni visual menerusi pendedahan dan bimbingan secara langsung.
Echoes of Borneo yang dijadual berlangsung pada 13 November, jam 7.30 malam, akan menjadi malam gala kebudayaan festival itu dengan menampilkan persembahan yang mengetengahkan seni persembahan, muzik dan warisan budaya Borneo.
Program itu merangkumi segmen seni Borneo dan Sarawak, muzik tradisional serta pertunjukan fesyen. Antara peserta yang akan membuat persembahan ialah Sanggar Andari dari Indonesia, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) dari Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah dan kumpulan tarian Perbadanan Labuan, selain persatuan etnik dari Sarawak.
FTLA ke-36 yang berlangsung pada 14 dan 15 November, bermula 7.30 malam, akan menampilkan pertandingan tarian dan nyanyian tradisional Melayu.
Sebanyak 10 kumpulan tarian layak ke peringkat akhir, termasuk Anak Seni Creation, Nuansar Dance Troupe, Sarawak Arts Legacy, Majestic Shades Dancer dan ASTALA.
Kategori tarian menawarkan hadiah utama RM10,000, diikuti RM7,000 bagi tempat kedua dan RM5,000 bagi tempat ketiga, selain anugerah bagi persembahan kreatif dan tradisional, kostum serta koreografi.
Kategori nyanyian tradisional Melayu pula menawarkan hadiah pertama RM3,500. Artis popular Hael Husaini dan Ara Johari turut dicadangkan sebagai artis jemputan.
Ngelakar Seni Premium yang berlangsung pada 14 November, jam 9 pagi, akan menyediakan platform perbincangan berkaitan seni, budaya, adat dan warisan.
Bertemakan “Adat dan Warisan Dayak Borneo: Revolusi Adat dan Warisan Dayak Borneo”, program itu akan menghimpunkan ahli akademik, pengamal budaya dan pegawai kanan kerajaan negeri bagi membincangkan perkembangan serta kesinambungan adat dan warisan masyarakat Dayak dalam menghadapi cabaran semasa.
Sementara itu, Ruai Sarawak yang berlangsung dari 13 hingga 15 November akan mengetengahkan identiti budaya, tradisi, kraf tangan, makanan dan persembahan daripada 12 persatuan etnik.
Pameran tahun ini memberi penekanan khusus kepada warisan masyarakat Iban dengan menampilkan pakaian tradisional dari Batang Ai, Batang Rajang serta komuniti Iban di kawasan Kepuas, Seribas dan Sebuyau.
Mini Show yang turut berlangsung dari 13 hingga 15 November akan menampilkan artis tempatan Sarawak dan pemuzik jalanan, selain aktiviti interaktif seperti kuiz berkaitan sejarah, seni dan budaya.
Market Seni pula akan menyediakan peluang kepada usahawan, pengusaha kraf tangan dan penggiat industri kreatif untuk mempromosikan serta menjual produk masing-masing.
Antara produk yang ditawarkan termasuk makanan tradisional, hasil kraf tangan, lukisan, karya seni, perkhidmatan tatu tradisional, inai dan pakaian.
Abdul Karim berkata, festival itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh industri kreatif serta mengiktiraf seni dan warisan budaya sebagai aset penting yang mampu menjana peluang ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menyokong pembangunan pelancongan.
Katanya, acara itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk meletakkan Sarawak sebagai destinasi yang mempunyai identiti tersendiri berteraskan kepelbagaian masyarakat etnik dan tradisi budaya.
Beliau berkata, acara yang sebelum ini dikenali sebagai Festival Seni Sarawak itu pernah dianjurkan secara berskala kecil, namun berharap penganjurannya tahun ini mampu menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai dengan sasaran 5,000 orang.
Beliau menggalakkan rakyat Sarawak, khususnya penduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya, selain pelajar, keluarga, penggiat seni serta pelancong, untuk menghadiri dan merasai sendiri kemeriahan festival berkenaan.
Program-program tersebut akan berlangsung pada waktu berbeza antara 9 pagi hingga 10.30 malam sepanjang empat hari penganjuran.





