KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 dan menolak sebarang kerjasama dengan parti politik lain.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pendirian itu pernah diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini, dengan parti-parti lain di luar GPS dianggap sebagai lawan.
Katanya, GPS akan bergerak secara bersendirian menerusi empat parti komponennya yang membawa pendekatan mengutamakan Sarawak dalam setiap keputusan.
“Sama ada DAP, PKR, PAS, Bersatu mahupun Amanah, mereka mungkin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mahu mengadakan pertemuan dengan GPS dan berharap dapat menjalinkan kerjasama memandangkan kita berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Itu urusan di peringkat Pusat. Di peringkat DUN, kita hanya mempunyai GPS dan pembangkang, manakala pembangkang dalam dewan ketika ini ialah dua wakil DAP.
“Jika PKR bercakap mengenai hasrat untuk menjalin kerjasama, sudah agak terlambat kerana kita tetap akan menganggap mereka sebagai pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Borneo Indigenous Festival 2026 di Bangunan Baitulmakmur Dua, di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kemungkinan PKR telah berjumpa dengan GPS untuk menjalinkan kerjasama politik memandangkan kedua-dua parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, sekiranya PKR mahupun DAP memenangi PRU Sarawak, segala keputusan harus dirujuk kepada kepimpinan pusat di Semenanjung.
Katanya, beliau sama sekali tidak mahu perkara berkaitan kepentingan Sarawak perlu melalui proses kelulusan berperingkat yang membabitkan pemimpin luar Sarawak.
“Apa sahaja isu penting di Sarawak harus dirujuk kepada Kuala Lumpur sekiranya ada pemimpin di Kuala Lumpur beri kelulusan.
“Mengapa kita perlu melalui proses berperingkat seperti itu? Kita mempunyai parti sendiri di Sarawak yang membuat keputusan di negeri ini demi kebaikan dan kemakmuran rakyat Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat PKR, PAS dan DAP tidak perlu memikirkan soal kerjasama kerana pilihan raya sudah semakin hampir.
“Jika mahu bertanding dalam pilihan raya, biarlah rakyat Sarawak yang menentukan,” ujarnya.






