KUCHING: Hasrat untuk bersara akan dikorbankan sekiranya masih diberi mandat oleh rakyat dan kepercayaan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat itu berkata, kesediaan untuk meneruskan khidmat adalah selaras dengan ikrar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk terus berkorban apabila masih diperlukan dan diberi amanah oleh parti.
“Sebelum ini, banyak kali saya memberitahu bahawa mungkin sudah tiba masa untuk bersara dalam arena politik kerana faktor usia.
“Namun, jika saya masih mendapat sokongan rakyat dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta PBB, saya akan berkorban.
Ini ikrar PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, SAC Kumarasan Muniandy di bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau merangkap Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB turut mendedahkan pemimpin masyarakat di kawasan beliau mahu Fatimah untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.
“Bagaimanapun, mandat rakyat dan parti menjadi penentu kepada kedudukan saya sebagai calon kerana bertanding menggunakan lambang parti, bukan atas nama sendiri.
“Justeru, saya bersedia menerima amanah itu sekiranya diberi mandat memandangkan masih banyak agenda pembangunan di kawasan berkenaan yang belum selesai dan perlu diteruskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan memberikan yang terbaik terhadap setiap amanah yang diberikan, selain rekod perkhidmatannya boleh dijadikan asas untuk menilai prestasinya.
Sementara, PRU Sarawak ke-12 menyaksikan Fatimah memperoleh majoriti 6,625 undi, mengalahkan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Salleh Mahali dengan jumlah undi sebanyak 7,085 berbanding 460.





