ARTIKEL

Gambar Hiasan

Dua lelaki didenda RM3,500 atas kesalahan merokok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki berusia 54 tahun didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengulangi kesalahan yang sama, iaitu merokok di kedai makan, Jun lalu.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), membabitkan dua kejadian berasingan pada 14 April dan 9 Jun lepas di sebuah premis makanan.

Tertuduh sebelum ini pernah didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret pada 30 September lalu bagi kesalahan pertama oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 22 tahun didenda RM700 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 16(2) dibaca bersama Seksyen 16(3) Akta 852.

Kesalahan itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTA Kuching).

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh telah diberikan notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 dan tempoh sebulan untuk hadir ke mana-mana Pejabat Kesihatan bagi tujuan penyelesaian kompaun.

Bagaimanapun, mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, menyebabkan kes masing-masing dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa daripada Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Mohd Fairos Ibrahim, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan notis kesalahan yang dikeluarkan, sebaliknya mengambil tindakan menyelesaikan kompaun dalam tempoh ditetapkan serta mematuhi peraturan kawasan larangan merokok yang telah diwartakan.

Kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang dan mengabaikan notis kesalahan boleh menyebabkan seseorang berdepan tindakan pendakwaan serta hukuman mahkamah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU