ARTIKEL

Pasukan Tarian Singa CMAA Sarawak meraikan kejayaan bersama trofi dan pingat kejuaraan kebangsaan Malaysia.

Pasukan Tarian Singa Utara CMAA Sarawak cipta sejarah, raih dua emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pasukan Tarian Singa Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Sarawak (CMAA) mencipta sejarah apabila meraih dua pingat emas, sekali gus muncul sebagai juara Tarian Singa Utara dan juara Tarian Singa Utara (Kelajuan) pada Kejohanan Kebangsaan Tarian Naga dan Singa Malaysia Ke-13 2026 yang berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November lalu.

Kejohanan kebangsaan itu diadakan di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, Melaka.

Pasukan CMAA Sarawak menerima trofi dan pingat Juara Tarian Singa Utara.

Jurulatih pasukan CMAA, Calvin Kong, berkata pasukannya berdepan debaran menjelang pertandingan sebelum berjaya memberikan persembahan yang hampir sempurna dalam acara Tarian Singa Utara.

Dalam persembahan itu, Kong Wen Ying bertindak sebagai pengacah singa, iaitu individu yang memimpin dan berinteraksi dengan pasangan penari singa sepanjang persembahan.

Pasukan singa hitam dianggotai Vincent Wong Hung Jing dan Jonas Chu Ting Hai, manakala singa putih dipersembahkan oleh Lee Kian Cheng dan Lee Jia Wei.

Pasukan itu mempersembahkan rutin asli dengan koreografi kreatif yang merangkumi aksi akrobatik yang menakjubkan, termasuk kuang balik, kuang lenting, lompatan dan lonjakan.

Persembahan berkenaan menyerlahkan asas seni mempertahankan diri yang kukuh, selain diserikan dengan unsur warisan budaya masyarakat peribumi Sarawak, khususnya tarian tradisional Ngajat dan alunan muzik sape.

Gabungan seni mempertahankan diri, teknik tarian singa dan unsur budaya Sarawak itu berjaya menarik perhatian juri serta penonton, sekali gus membolehkan pasukan berkenaan merangkul gelaran juara Tarian Singa Utara.

Kejayaan itu diteruskan apabila pasukan berkenaan meraih pingat emas kedua dalam acara Tarian Singa Utara (Kelajuan) pada hari kedua terakhir kejohanan, sekali gus melengkapkan pencapaian dua pingat emas untuk Sarawak.

Calvin berkata, pasukan itu tidak akan berpuas hati dengan kejayaan berkenaan, sebaliknya akan terus mempertingkat kemahiran teknikal dan memantapkan rutin persembahan dengan harapan dipilih mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa pada masa hadapan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pasukan Tarian Singa Selatan CMAA menunjukkan prestasi membanggakan apabila menduduki tempat kesembilan dalam acara Tarian Singa Selatan Tiang Tinggi.

Pasukan itu dianggotai Lim Ming Zhou, Esther Bong Wan Chin, Lim Ming Joy, Lee Jia Wei, Lee Kian Cheng, Liang Jun Xiang, Darren Sim Jia Xiang dan Eisen Tan Yeou Sheng.

Presiden CMAA, Chester Lim, memuji pencapaian cemerlang pasukan itu serta komitmen penari dan barisan jurulatih yang sanggup berkorban masa dan tenaga sepanjang tempoh persiapan serta latihan intensif.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dan penaja, khususnya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; Perbadanan Sukan Sarawak; serta Jabatan Belia dan Sukan Sarawak atas sokongan berterusan terhadap aktiviti dan pertandingan tarian naga serta tarian singa, termasuk program pembangunan di sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, sokongan berterusan itu memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat tempatan, memperkukuh pembangunan seni tarian naga dan singa di Sarawak serta membuka peluang kepada golongan muda untuk mengetengahkan kebolehan mereka pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejayaan meraih dua pingat emas itu merupakan pencapaian penting bagi CMAA dan pembangunan seni tarian naga serta singa di Sarawak.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa seni persembahan tradisional yang berteraskan disiplin seni mempertahankan diri dan diperkaya dengan identiti budaya tempatan mampu mencapai kecemerlangan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Pasukan CMAA Sarawak menerima trofi dan pingat Juara Tarian Singa Utara (Kelajuan).

BERITA LAIN

Sarawak tambah RM1.65 juta untuk Sandbox Gedong

BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan tambahan RM1.65 juta bagi meneruskan pelaksanaan Sandbox Gedong, sekali gus memperkukuh usaha pembangunan sektor pertanian negeri menerusi penerapan teknologi pintar, inovasi

BERITA TERBARU

Sarawak tambah RM1.65 juta untuk Sandbox Gedong

BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan tambahan RM1.65 juta bagi meneruskan pelaksanaan Sandbox Gedong, sekali gus memperkukuh usaha pembangunan sektor pertanian negeri menerusi penerapan teknologi pintar, inovasi