BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan tambahan RM1.65 juta bagi meneruskan pelaksanaan Sandbox Gedong, sekali gus memperkukuh usaha pembangunan sektor pertanian negeri menerusi penerapan teknologi pintar, inovasi dan penyelidikan universiti.
Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menghubungkan kepakaran penyelidikan institusi pengajian tinggi dengan keperluan sebenar petani serta komuniti pertanian setempat.
Beliau berkata, Sandbox Gedong merupakan kesinambungan projek Agri-Hub@Gedong yang berperanan sebagai platform pemindahan teknologi UPM untuk memperkenalkan pelbagai inovasi dan hasil penyelidikan yang terbukti berkesan dalam mengoptimumkan pengeluaran padi.
Menurutnya, inisiatif itu diteruskan menerusi kerjasama UPM Sarawak dan Putra Science Park bagi memperkukuh ekosistem inovasi serta memperluas penggunaan teknologi pertanian pintar dalam kalangan komuniti pertanian.
“UPM Sarawak mempunyai peranan penting sebagai pemangkin keterjaminan makanan di Borneo. Kekayaan sumber, kepelbagaian komuniti dan keperluan pembangunan Sarawak membuka ruang luas untuk ilmu pertanian, sains, teknologi dan pengurusan diterjemahkan kepada manfaat sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 (Sidang Satu) di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak, di sini, Isnin.
Peter Chin turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Shahrul Razid Sabini selaku ketua projek serta seluruh pasukan Agri-Hub@Gedong atas komitmen mereka dalam memastikan kesinambungan inisiatif berkenaan.
Katanya, usaha memperkukuh penggunaan teknologi dalam sektor pertanian itu turut berpotensi menyumbang kepada agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya menerusi peningkatan keterjaminan makanan, pembangunan pertanian berasaskan inovasi dan pengukuhan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, penerapan teknologi dan hasil penyelidikan dalam sektor pertanian perlu terus diperluas bagi memastikan industri berkenaan mampu berkembang secara lebih produktif, mampan dan berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan graduan supaya melihat sektor makanan dan pertanian sebagai bidang yang menawarkan peluang luas untuk meneroka penyelesaian baharu, membangunkan inovasi serta menyumbangkan kepakaran kepada pembangunan negara.
Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 menyaksikan seramai 619 graduan menerima pengiktirafan, terdiri daripada 21 graduan Doktor Falsafah, 21 graduan sarjana, 100 graduan ijazah sarjana muda dan 477 graduan diploma.
Peter Chin berkata, penganjuran majlis konvokesyen secara berterusan di Sarawak bukan sahaja memberi peluang kepada graduan dan keluarga meraikan kejayaan mereka di negeri ini, malah turut memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat.




