BINTULU: Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) digesa memanfaatkan ilmu, kepakaran dan pengalaman sepanjang pengajian bagi menghasilkan penyelesaian inovatif serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan dan sumbangan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, universiti bukan sekadar institusi untuk menimba ilmu, malah berperanan sebagai medan membentuk jati diri, mengembangkan bakat serta menggilap potensi mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, graduan juga perlu lebih terbuka meneroka peluang dalam pelbagai sektor, termasuk sektor agromakanan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keterjaminan makanan negara.
“Saya mengesyorkan para graduan agar melihat sektor makanan dan pertanian sebagai ruang untuk mencipta penyelesaian dan membina kejayaan.
“Carilah peluang untuk menyumbang kepakaran kepada kesejahteraan masyarakat dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 (Sidang Satu) di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak, di sini pada Isnin.
Peter Chin berkata, keupayaan mahasiswa UPM Sarawak menterjemahkan ilmu kepada tindakan turut terserlah menerusi pelbagai pencapaian sepanjang 2026, khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi, kepimpinan, khidmat komuniti dan kesenian.
Antara kejayaan yang membanggakan ialah pencapaian UPM Sarawak sebagai pemenang kategori Better Nutrition dalam Youth Research Proposal Competition 2026 anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bersama ASEAN University Network for Agriculture and Food Security.
Katanya, kejayaan itu membuktikan keupayaan mahasiswa menghasilkan idea dan penyelidikan yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik, malah berpotensi menyokong agenda keterjaminan makanan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berkata, pendedahan kepada persekitaran antarabangsa penting dalam membentuk graduan yang berdaya saing, berfikiran terbuka serta mampu memahami kepelbagaian budaya dan perspektif global.
Sehubungan itu, UPM Sarawak terus menganjurkan program mobiliti berimpak tinggi, antaranya Japan-Malaysia Student Research and Cultural Exchange 2026 bersama Tokyo University of Agriculture dan Borneo Youth Leaders Summit 2026.
Penglibatan mahasiswa dalam Konsortium Universiti-Universiti Borneo (KUUB) menerusi penubuhan KUUB Student Chapter yang diterajui pelajar UPM Sarawak turut membuka ruang lebih luas untuk membina jaringan kerjasama akademik dan kepimpinan di rantau Borneo.
Pada majlis berkenaan, seramai 619 graduan diraikan, terdiri daripada 21 graduan Doktor Falsafah, 21 graduan sarjana, 100 graduan ijazah sarjana muda dan 477 graduan diploma.






