SIMUNJAN: Kerjasama Sarawak dengan Jepun dalam pemuliharaan hutan hujan tropika terus diperkukuh apabila syarikat Jepun, SANKYU INC., komited menanam sebanyak 20,000 pokok dalam tempoh 10 tahun, dari 2026 hingga 2035.
Komitmen itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Persatuan Japan-Malaysia (JMA) bagi menyokong usaha pemulihan hutan dan pemuliharaan biodiversiti di negeri ini.
“Sebagai permulaan, sebanyak 1,000 anak pokok spesies tempatan ditanam menerusi program berkenaan di Hutan Simpan Sabal hari ini.

“Program ini melibatkan kira-kira 80 peserta terdiri daripada wakil Jepun, pegawai dan kakitangan JHS, sukarelawan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta komuniti setempat,” kata JHS dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerjasama JHS dengan JMA bermula pada 1995 dan sepanjang tiga dekad lalu, pelbagai inisiatif pemulihan hutan dilaksanakan, khususnya menerusi penanaman spesies pokok tempatan serta pemulihan ekosistem hutan.

Komitmen jangka panjang SANKYU INC. itu turut mencerminkan penglibatan sektor korporat Jepun dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti Sarawak.
Inisiatif berkenaan turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak yang berjaya mencapai sasaran penanaman pokok menerusi Kempen Penghijauan Malaysia 2021–2025 kini menyasarkan penanaman 50 juta pokok bagi tempoh 2026 hingga 2030 menerusi inisiatif Greening Malaysia 2.0,” ujarnya.
Program itu turut dihadiri Pengurus Besar Jabatan Perancangan Kelestarian SANKYU INC. Megumi Asano, Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu Hisaki Nakasuji, Timbalan Pengarah JMA Yuma Kosuga, Penyelaras JMA-Sarawak Kazue Sakai serta Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Profesor Dr Faisal Ali Anwarali Khan.
JHS merakamkan penghargaan kepada SANKYU INC. atas komitmen jangka panjang itu serta JMA atas kerjasama berterusan sejak tiga dekad lalu.
Jabatan itu turut menghargai penglibatan sukarelawan UNIMAS dan komuniti setempat yang menyumbang kepada kejayaan program berkenaan.
“Kerjasama berterusan antara Sarawak dengan rakan antarabangsa itu dilihat penting bagi memperluas usaha pemulihan hutan, memelihara biodiversiti dan memastikan kelestarian ekosistem hutan untuk generasi akan datang,” katanya.






