SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) merekodkan jualan lebih 52,000 tiket bagi Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026, tertinggi sejak pandemik COVID-19, dengan jumlah kehadiran penonton kira-kira 196,000 orang.
Menurut Bernama Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata sebanyak 52,000 daripada 56,000 tiket yang ditawarkan berjaya dijual, sekali gus menunjukkan sambutan memberangsangkan terhadap perlumbaan itu.
Beliau berkata jumlah kehadiran penonton hampir mencapai sasaran 200,000 orang yang ditetapkan penganjur dan pihaknya akan berusaha mencapai sasaran itu pada tahun depan.
Mengulas penjualan pas Perdana Suite secara tidak sah di pasaran gelap, Azhan berkata dua suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata pas berkenaan dipercayai dihasilkan secara dalaman tetapi dijual tanpa kod bar.
Kegiatan itu dikesan menerusi maklumat dalaman sebelum SIC bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan polis untuk mengambil tindakan.
Azhan berkata kedua-dua suspek masih direman dan siasatan sedang dijalankan, justeru beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.
Beliau berkata kejadian itu menjadi pengajaran kepada SIC untuk memperketat kawalan serta menambah baik sistem pengurusan pas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Isu penjualan pas Perdana Suite palsu pada harga RM250 di pintu masuk litar tular di media sosial pada Sabtu lalu susulan beberapa hantaran yang mendedahkan kegiatan berkenaan.






