KOTA SAMARAHAN: Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor dan Anugerah Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditawarkan peluang melanjutkan pengajian dengan pembiayaan yuran penuh oleh universiti itu.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, inisiatif itu merupakan penghargaan universiti terhadap kecemerlangan graduan, selain pelaburan untuk melahirkan ilmuwan dan pemimpin masa hadapan.

Katanya, kejayaan hari ini bukan noktah perjuangan, sebaliknya titik permulaan kepada pencapaian lebih gemilang.
“Biarlah kejayaan ini melangkaui sekeping skrol dan kenangan, terus berkembang menjadi penyelidikan, inovasi, kepimpinan serta bakti yang memberi makna kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-30 UNIMAS di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) ialah Khairil Amzar Khairizal daripada Program Sarjana Muda Sains Kognitif dengan Kepujian, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia serta Rachel Ho Ping Lee daripada Program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Korporat) dengan Kepujian, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.
Sementara itu, Anugerah Canselor diberikan kepada Hazriffuddin Ayup yang mengikuti program Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian dari Fakulti Alam Bina, manakala Anugerah Pro-Canselor diterima oleh Avinaash Loganathan daripada Program Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Komputan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.
Hata turut memaklumkan, Konvokesyen Ke-30 menyaksikan UNIMAS meraikan kohort pertama graduan Program Pendidikan Islam daripada Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) serta graduan sulung Program Agroteknologi daripada Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS).
Fakulti Ekonomi dan Perniagaan turut menawarkan program Doktor Pentadbiran Perniagaan melalui APEL.Q yang mengiktiraf pengalaman profesional sebagai kelayakan akademik, manakala program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat melalui mod Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) memberikan fleksibiliti kepada golongan profesional untuk melanjutkan pengajian.
“Tahun ini turut melakar sejarah apabila seramai 30 pelajar kohort pertama memulakan pengajian di Fakulti Undang-Undang pertama di Borneo yang ditubuhkan di UNIMAS. Penubuhan fakulti itu merupakan langkah strategik menerusi pendekatan boutique law school dengan penekanan terhadap bidang undang-undang adat, peribumi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tahun ini juga genap 10 tahun kerjasama strategik antara UNIMAS dan Yayasan Sarawak menerusi penawaran Biasiswa Khas Program Perubatan kepada anak-anak Sarawak. Sehingga kini, program berkenaan berjaya melahirkan 200 doktor perubatan yang kini berkhidmat di negeri ini.
“Selain kejayaan akademik, kita turut berbangga meraikan 188 penuntut yang berjaya menamatkan latihan kokurikulum badan beruniform, termasuk Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara, PALAPES Darat dan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) pada tahun ini,” ujarnya.
Istiadat Konvokesyen UNIMAS Ke-30 berlangsung selama empat hari, bermula hari ini hingga 5 November, membabitkan lapan sidang dengan keseluruhan 4,428 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian.
Sidang pertama yang berlangsung pagi tadi (2 November) menyaksikan seramai 173 graduan Ijazah Kedoktoran diraikan.





