KOTA SAMARAHAN: Perjalanan pilihan raya Sarawak selama lebih lima dekad kini didokumentasikan menerusi kajian akademik Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam yang meneliti Corak Ruangan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 1969–2021.
Beliau berkata, kajian itu juga merangkumi 12 siri pilihan raya negeri, bermula daripada pilihan raya pertama Sarawak selepas pembentukan Malaysia sehingga pilihan raya pada 2021.
Beliau yang menerima skrol Kedoktoran sempena Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang Pertama berkata, kajian itu mengambil masa kira-kira empat tahun enam bulan untuk diselesaikan.
Menurutnya, penyelidikan berkenaan merupakan kajian menyeluruh yang menggunakan data keputusan pilihan raya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus memberikan gambaran lebih luas mengenai perubahan corak pengundian di setiap kawasan DUN sepanjang lima dekad.
“Memang banyak kajian mengenai politik di Malaysia, tetapi kebanyakannya hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua kawasan DUN dan Parlimen.
“Namun, kajian ini merangkumi keseluruhan kawasan DUN Sarawak dari 1969 hingga 2021 dan merupakan antara kajian pertama yang melihat corak ruangan pilihan raya negeri secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui di DeTAR Putra, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, idea untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tercetus ketika tempoh pandemik COVID-19 apabila beliau mempunyai lebih banyak masa untuk membaca, menelaah bahan rujukan serta mengembangkan idea berkaitan politik dan pilihan raya Sarawak.
Katanya, selepas berbincang dengan beberapa pensyarah UNIMAS, beliau dicadangkan menggunakan pendekatan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bagi memetakan kawasan DUN serta perubahan sempadannya mengikut setiap penggal pilihan raya.
“Melalui kaedah ini, kita dapat melihat perubahan kawasan DUN dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya, termasuk perkembangan dan perubahan landskap kawasan berkenaan sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.
Mengulas cabaran sepanjang penyelidikan, beliau memberitahu, antara kekangan utama ialah mendapatkan data sejarah pilihan raya daripada SPR yang tidak dibenarkan dibawa keluar dari pejabat agensi berkenaan.
Justeru, beliau beberapa kali berkunjung ke pejabat SPR di Petaling Jaya untuk mengumpul dan meneliti data bagi melengkapkan penyelidikan tersebut.
Jelasnya, pengalaman sebagai seorang ahli politik turut membantu beliau memahami data yang dikaji termasuk keputusan pilihan raya serta perkembangan parti dan kepimpinan politik di Sarawak.
“Kajian ini turut meneliti beberapa aspek penting seperti pengaruh kawasan kejiranan antara DUN, persamaan parti politik, perbezaan pola pengundian mengikut gender serta jurang antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Antara penemuan penting ialah bagaimana data daripada 12 pilihan raya sepanjang lima dekad ini boleh diselaraskan dalam satu sistem yang lebih sistematik dan teratur untuk kegunaan ahli serta parti politik.
“Ini juga membuka ruang kepada pembangunan satu sistem yang boleh membantu memahami corak pengundian dan landskap politik Sarawak dengan lebih mendalam,” tegasnya.
Beliau juga berkongsi bahawa hasil penyelidikan itu berpotensi dijadikan rujukan strategik dalam memahami pola pengundian serta perancangan politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Malah, penyelianya turut menyifatkan kajian tersebut sebagai satu hasil penyelidikan penting kerana skopnya yang luas dan belum pernah dilaksanakan secara menyeluruh sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau juga kini dalam proses membukukan hasil kajian berkenaan supaya dapat dimanfaatkan sebagai bahan rujukan akademik dan politik pada masa hadapan.
Terdahulu, Razi merupakan salah seorang daripada 173 penerima skrol Kedoktoran yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, turut menerima skrol berkenaan semalam ialah wartawan Sarawak Tribune, Dr Fasiha Khushairi.




