Angkara menyamun, penganggur dipenjara dan disebat

KOTA SAMARAHAN: Seorang penganggur dihukum penjara selama lima tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah menyamun dan menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki.

Tertuduh, Mohd Rezuan Adam berusia 23 tahun dari Kampung Tanjung Bundong dijatuhkan hukuman tersebut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Kota Samarahan, hari ini.

Mengesahkan kes, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Jun lalu.

“Tertuduh didakwa kerana menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kegiatan jenayahnya itu pada 13 Jun lalu lebih kurang jam 8.15 pagi semasa mangsa mahu membuka pintu pagar rumahnya di Lot 6225, Lorong 4C, Lot Perumahan Fasa 2, Kampung Tanjung Bundong.

Tertuduh pada awal bertanyakan rumah seseorang namun apabila mangsa melihat mukanya yang mencurigakan, dia terus menolak mangsa sehingga terjatuh.

Dia kemudian menarik rantai leher beserta loket mangsa dan terus melarikan diri.

Mangsa mengalami kerugian dianggarkan lebih kurang RM11,000.

Gambar hiasan