KUCHING: Kerajaan telah meletakkan satu rangka kerja lebih kukuh untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, khususnya melalui anjakan dasar yang menaikkan paras gaji serta memberi insentif kepada peralihan kepada ekonomi berkompleksiti tinggi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan jurang dalam masyarakat serta membantu Malaysia keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana, yang sebahagiannya berpunca daripada persaingan berasaskan kos buruh murah.
Sehubungan itu, katanya, usaha menangani kos sara hidup dan merapatkan jurang pendapatan melalui kenaikan gaji dilaksanakan. Ia bermula dengan pelaksanaan gaji minimum yang dinaikkan secara berperingkat daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan seterusnya RM1,700 pada tahun ini.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan rakyat memperoleh manfaat secara langsung dalam bentuk pendapatan boleh guna, selain memberi isyarat jelas kepada industri supaya melangkaui penawaran gaji minimum semata-mata.
“Kerajaan mahu kekayaan dicipta dan diedarkan dengan lebih baik dalam ekonomi. Justeru, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut komited melaksanakan gaji sara hidup, dengan sasaran sehingga RM3,000,” katanya dalam sesi forum sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Amir Hamzah berkata, transformasi itu juga dapat dilihat sedang berlaku di Sarawak, yang kini sedang menjadi hab teknologi hijau.
“Kita mempunyai pembangunan hidrogen di Sarawak. Kita juga melihat pertumbuhan yang dipacu gas di Sarawak serta pembinaan hab-hab industri di negeri ini.
“Jenis pekerjaan seperti ini adalah pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi. Ini meletakkan lebih banyak wang di tangan rakyat. Maka, pertumbuhan ekonomi menjadi lebih seimbang dalam rangka pengurusan ekonomi berbanding sebelum ini,” katanya.
Namun, tegasnya, untuk bergerak ke hadapan, ia memerlukan pendekatan seluruh negara, khususnya kesalinghubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, pelbagai kementerian serta agensi-agensi untuk bekerjasama dan bergerak seiring.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata mekanisme perlindungan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus diperkasakan.
“Menariknya, apabila SARA mula diperkenalkan, ramai yang bimbang tentang penggunaan kad pengenalan dan teknologi untuk penebusan bulanan SARA.
“Namun sebenarnya, antara negeri yang mencatat kadar penembusan tertinggi ialah Sarawak, Sabah dan Perlis. Ini menunjukkan penggunaan digital telah menembusi dengan sangat baik di seluruh Malaysia dan rakyat tidak tercicir dalam proses ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan untuk menambah bilangan premis yang menerima SARA, misalnya di Sarawak yang kini mempunyai 777 premis berdaftar, dan jumlah itu akan terus diperluas bagi memudahkan rakyat.



