ARTIKEL

TOKOH BELIA SARAWAK... Muhammad Khairullah (kanan) dan Demanic Chupong menunjukkan piala dan sijil yang diterima mereka sempena Minggu Belia Sarawak 2026.

Anugerah Belia Sarawak suntik semangat untuk terus berbakti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pengiktirafan menerusi Anugerah Belia Sarawak 2026 bukan sekadar penghargaan terhadap sumbangan golongan muda, malah menjadi pemangkin kepada penerimanya untuk terus memperkasa bakat dan membuka peluang kepada lebih ramai belia di negeri ini.

Penerima Anugerah Belia Sarawak 2026 Kategori Individu Lelaki, Muhammad Khairullah Muhammad Marzidi, berkata pengiktirafan itu turut mewakili perjuangan bersama anak muda yang dibimbingnya sepanjang tempoh 20 tahun.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran pengucapan awam termasuk pidato, debat, syarahan dan pengendalian protokol majlis, selain membantu belia melangkah ke alam pekerjaan serta bidang seni dan budaya.

“Alhamdulillah, apa yang diperjuangkan telah membuahkan hasil apabila belia yang bersama saya kini sudah berada pada tahap pencapaian yang cukup membanggakan.

“Pengiktirafan ini bukan penamat, sebaliknya saya akan terus berjuang untuk anak-anak Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan sempena Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Khairullah berkata antara usaha yang akan diteruskannya ialah memperkasa pengucapan awam menerusi inisiatif Pemintal Orator yang menurutnya sudah berkembang hingga ke Universiti Bahasa Asing di Guangzhou, China.

Katanya, ilmu dan pengalaman berkaitan pengucapan awam itu turut dikongsikan di Vietnam, Brunei dan Indonesia, sekali gus membuktikan kemampuan anak Sarawak diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya seseorang yang mempunyai kelebihan dalam pengucapan awam pasti akan berjaya, sebab itulah perjuangan ini terus saya bawa sehingga hari ini,” jelasnya.

Beliau turut menyeru golongan belia supaya mempunyai keyakinan dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu bagi mengembangkan potensi diri.

“Kita perlu yakin dan berani mencuba kerana jika tidak berani mencuba dan tidak yakin, kita tidak akan berani keluar daripada kepompong sendiri.

“Kalau bukan hari ini, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Kelab Belia Permata Halaman Kurung Sian Demanic Chupong Jumput yang menerima Anugerah Persatuan Belia Sarawak bagi kategori pertubuhan dan kelab berkata kejayaan berkenaan bukan didorong populariti, sebaliknya hasil usaha membangunkan potensi golongan muda, khususnya mereka yang sebelum ini berasa terpinggir.

Katanya, misi pertubuhan berkenaan adalah untuk memangkin dan meningkatkan keupayaan yang ada pada setiap belia tanpa menjadikan kekurangan sebagai batasan untuk mencapai kejayaan.

“Jangan jadikan sesuatu kekurangan itu sebagai keterbatasan, tetapi kekurangan itu adalah pelengkap kepada setiap kejayaan,” katanya.

Menurutnya, perjalanan dalam bidang keusahawanan dan pengurusan pertubuhan sememangnya tidak terlepas daripada cabaran, termasuk pengalaman jatuh bangun, namun kerjasama dan persefahaman menjadi kunci untuk bangkit semula.

Katanya lagi, nilai toleransi amat penting dalam organisasi yang menghimpunkan belia daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya.

Dalam pada itu, beliau mengajak golongan belia yang berasa sukar berkomunikasi atau cenderung menyendiri supaya menyertai aktiviti pertubuhan belia sebagai langkah membina keyakinan dan kemahiran sosial.

“Melalui penyertaan dalam kelab, anda akan dipimpin, dibimbing dan diajar cara untuk berkomunikasi, paling penting, kami akan membangunkan dan mengembangkan bakat setiap belia,” katanya.

Beliau turut menyampaikan pesanan supaya golongan muda tidak berputus asa walaupun berdepan kesukaran.

“Jika hari ini anda rasa berada dalam jurang yang paling dalam, ingatlah ada tangan yang masih sedia memimpin anda menuju tangga kejayaan,” ujarnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU