KUCHING: Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) bercadang menawarkan Anugerah Industri JKR kepada pelajar cemerlang dalam bidang pembinaan, khususnya dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara JKRS dengan Swinburne Kampus Sarawak yang bertujuan memperkukuh sinergi dalam penyelidikan akademik, pembangunan bakat dan penyampaian infrastruktur praktikal demi manfaat negeri ini.
“Kita mencadangkan untuk menawarkan Anugerah Industri JKR kepada pelajar cemerlang Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak yang telah menamatkan pengajian.

“Cadangan ini juga akan dibawa kepada pihak pengurusan Swinburne untuk merealisasikan Anugerah Industri JKRS. Namun, buat masa ini, kita masih dalam peringkat perbincangan untuk melihat bagaimana ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis menandatangani MoU antara JKRS dengan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di universiti berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dari segi kriteria pemilihan bagi anugerah tersebut akan ditentukan secara bersama antara JKRS dengan Swinburne Kampus Sarawak.
“Perkara ini akan dibincangkan bersama antara JKRS dengan Swinburne.
Ia masih belum dimuktamadkan, tetapi merupakan idea bersama kedua-dua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai MoU berkenaan, beliau memaklumkan pihaknya berhasrat untuk meneroka penyelidikan dan kajian yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang yang berkait rapat dengan industri pembinaan.
“JKR merupakan sebuah jabatan yang besar dan berupaya menawarkan latihan praktikal kepada para pelajar, selebihnya merupakan kesinambungan kerjasama dalam apa jua perkara yang memberi manfaat bersama.
“Justeru, itulah matlamat utama kolaborasi ini dan pemeteraian MoU hari ini (22 April) merupakan langkah ke arah mencapai objektif tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, MoU lima tahun itu juga dijangka menghasilkan projek khusus, hasil penyelidikan dan jaringan profesional yang memberi nilai jangka panjang kepada Sarawak.
Pada masa yang sama, Swinburne Kampus Sarawak dan JKRS juga komited untuk terlibat secara bermakna dalam inisiatif ini serta menyumbang kepakaran, idea dan bakat masing-masing.



