NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu wakil beberapa syarikat terkemuka bagi membincangkan peluang pelaburan dan kerjasama industri Malaysia-India.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pertemuan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia. Kerajaan MADANI akan memudah cara pelaburan berkualiti untuk memperkukuh industri tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
Wakil DRB-HICOM meneroka kerjasama dengan industri automotif India.
Segula Technologies India pula berhasrat menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026, dengan pengambilan bakat tempatan dan penerapan kepakaran kecerdasan buatan.
Pertemuan dengan AWL Agri Business Ltd membincangkan peningkatan pembelian produk Malaysia.
Import minyak sawit syarikat itu bernilai kira-kira RM1.5 bilion, selain peluang kerjasama dalam lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran.
Motherson Group berkongsi rancangan mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.
Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, dalam lawatan keduanya ke India sebagai Perdana Menteri seperti dilapor Bernama.



