
MUKAH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Mukah, Abdul Jalil Bujang yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah calon yang layak menjadi Perdana Menteri ke-10.
Abdul Jalil berkata, Anwar memiliki kewibawaan untuk memimpin satu pasukan yang boleh memulihkan keadaan, membangun serta membina semula maruah Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun katanya lagi, perkara itu hanya akan tercapai sekiranya PH memenangi banyak kerusi untuk menerajui Kerajaan Persekutuan selepas 19 November ini.
Dalam perkembangan sama, Jalil mengakui parti GPS tetap akan kekal sebagai kerajaan yang memerintah di Sarawak selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15) ini.
“Kita telah saksikan bahawa sejak tahun 2018, kita tidak memiliki kerajaan yang stabil sehingga berlaku proses pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam masa singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses Penamaan Calon di Menara Pehin Setiaraja pada Sabtu.
Terdahulu, Parlimen Mukah pada pilihan raya umum kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Datuk Hanifah Hajar Taib daripada GPS dan Abdul Jalil Bujang daripada PH.
Keputusan penamaan calon telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Mukah Shafrie Saili pada jam 12 tengah hari pada Sabtu dengan urutan nama calon pada kertas undi yang didahului oleh Hanifah sebagai calon nombor satu diikuti Abdul Jalil Bujang sebagai calon nombor dua.





