KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran Pakistan untuk memudah cara dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang disifatkan beliau sebagai inisiatif tepat pada masanya serta konstruktif ketika ketegangan serantau kian meruncing.
Menerusi hantaran video di laman Facebook hari ini, Anwar memuji rakan sejawatnya Shehbaz Sharif serta pemimpin negara lain termasuk Oman yang tampil membantu usaha diplomasi berkenaan.
“Hubungan Pakistan dengan pihak berkepentingan serta kedudukannya sebagai suara yang dipercayai dalam dunia Islam meletakkan negara itu pada posisi kukuh untuk membantu mewujudkan syarat bagi rundingan yang bermakna,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong penuh inisiatif tersebut dan berharap agar AS serta Iran turut memberikan maklum balas positif terhadap usaha itu.
“… ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi diplomasi. Ruang itu perlu dimanfaatkan dengan penuh serius,” kata beliau.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang rundingan harus dilaksanakan berteraskan niat yang tulus dan komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukannya sekadar mengawal tempo konflik demi kelebihan taktikal.
“Masyarakat antarabangsa sudah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang sekadar berfungsi sebagai jeda dan bukannya penyelesaian tuntas. Rantau berkenaan sewajarnya menerima sesuatu yang lebih kekal,” kata beliau.
Anwar berkata walaupun Malaysia mengulangi pendirian mengenai hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya dalam mendepani serangan berterusan Israel di negara itu dan Lubnan, beliau menyeru semua pihak agar bertenang.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat serta infrastruktur negara jiran, khususnya negara Teluk, tidak terjerumus ke dalam kancah konflik yang bukan pilihan mereka.
“Negara-negara Teluk, rantau berkenaan dan dunia mempunyai kepentingan besar dari segi ekonomi, sosial serta kestabilan jangka panjang, maka rakyat mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada keputusan yang dibuat di pihak lain,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan peraturan antarabangsa yang tidak saksama dan menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa tidak boleh diguna pakai secara terpilih.
“(Undang-undang antarabangsa) tidak boleh melindungi satu pihak daripada akauntabiliti dan dalam masa sama menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibiliti undang-undang tersebut bergantung kepada konsistensi,” kata beliau.
Anwar berkata beliau baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk, Turkiye, Egypt, Indonesia, Jepun, Pakistan dan rakan kongsi lain bagi memahami situasi dengan lebih mendalam serta mencari jalan penyelesaian untuk meredakan ketegangan.
“Malaysia akan terus menyokong setiap usaha murni demi keadilan dan mewujudkan keamanan yang berkekalan,” kata beliau. — BERNAMA



