KUCHING: Kerajaan Persekutuan yakin Sarawak mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu selepas statusnya ditukar daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Menurut Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pelabuhan Bintulu merupakan aset penting negara, khususnya dalam industri gas asli cecair (LNG), selain mempunyai kedudukan strategik di peringkat Asia.
Beliau berkata Sarawak memiliki tenaga pakar dan cendekiawan yang berpengalaman untuk mentadbir pelabuhan berkenaan, sekali gus menjadikan penyerahan itu sebagai simbol kepercayaan dan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu diadakan di Bintulu dan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Pada 20 Mei lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan pelabuhan itu kepada Sarawak dengan nilai pampasan RM1.8 bilion.

