PELAKON jelita, Anzalna Nasir, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman manis selepas membantu anak-anak yatim yang memerlukan.
Menurutnya, setiap kali menyalurkan bantuan, dia merasai ketenangan dan kemanisan tersendiri hasil daripada usaha murni itu.
Anzalna mendedahkan bahawa walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, ia tetap memberi impak besar dalam kehidupannya.
“Tak pasti doa anak yatim yang mana satu Allah makbulkan.
Sebenarnya, tak banyak pun saya belanja mereka, cuma tanya apa yang mereka teringin nak makan,” tulisnya menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Tambah pelakon drama popular Love You, Mr. Arrogant itu lagi, niat utamanya hanyalah untuk menggembirakan hati anak-anak yatim berkenaan.
Namun, tanpa disangka, pada hari yang sama juga Allah menghadiahkannya rezeki luar jangka.
“SubhanAllah, bila Allah nak bagi, sekelip mata saja boleh berlaku,” katanya.
Anzalna turut menegaskan bahawa perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya sebagai peringatan agar orang ramai sentiasa percaya bahawa setiap kebaikan, walau sekecil mana pun, pasti ada ganjarannya di sisi Allah.
“Bukan untuk riak, cuma ingin berkongsi supaya kita semua ingat bahawa setiap kebaikan sekecil apa pun pasti dibalas,” ujarnya.
Sifat pemurah Anzalna sememangnya bukan perkara baharu dalam kalangan peminat.
Sebelum ini, namanya pernah tular apabila membantu muridmurid kurang berkemampuan mendapatkan peralatan persekolahan baharu.
Bukan itu sahaja, ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini juga pernah tampil membantu keluarga susah membeli barangan dapur serta keperluan bayi.
Sikap prihatin dan dermawannya itu membuatkan Anzalna terus disanjung sebagai antara selebriti yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.



