SKUAD Polis Diraja Malaysia (PDRM) bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk meleburkan Sarawak 5-2 dalam aksi pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi.

Skuad ‘The Cops’ hanya memerlukan 15 minit pertama separuh masa kedua perlawanan untuk mendahului Sarawak buat pertama kali selepas ketinggalan hasil jaringan cantik Gerogi Kinkladze Tom seawal minit keenam dan Mohamad Alif Hassan pada minit ke-34.

Pemain pertahanan, Muhammad Fauzan Mohd Fauzi menjaringkan gol pertama PDRM pada minit ke-47 sebelum Patrick Ronaldinho Wleh menyamakan kedudukan empat minit kemudian diikuti gol ketiga menerusi sepakan penalti Lee Changhoon pada minit ke-58.

Kerancakan PDRM dalam menampilkan aksi berkualiti tinggi pada babak kedua perlawanan menyaksikan Patrick Ronaldinho berjaya mencipta hatrik selepas meledak dua lagi gol pada minit ke-65 dan ke-80 sekali gus mengesahkan kemenangan bermakna PDRM.

Sebagai rekod, pertembungan PDRM dan Sarawak itu sepatutnya berlangsung pada 2 April lepas di venue sama, namun terpaksa ditangguhkan ekoran hujan lebat dan petir.

Dalam pada itu, PDRM bakal meneruskan perjuangan mereka dalam pusingan ketiga Piala FA dengan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung bagi aksi berdepan PKNP FC,  sama ada pada 16 atau 17 April ini.

Sarawak memulakan aksi hebat pada babak pertama dan tidak menunggu lama untuk menggegar jaring PDRM seawal minit permainan, dan menambah satu lagi gol 10 minit sebelum rehat.

Namun entah bagaimana, para pemain Sarawak kelihatan lemas pada babak kedua, menyebabkan PDRM bermaharajalela menguasai pentas saingan dengan amukan lima gol.

Aksi longlai Sarawak pada babak kedua seolah-olah kesan daripada isu panas yang melanda kem Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Jumaat lalu, iaitu skandal pecah amanah yang melibatkan bekas Setiausaha Agung FAS.

Ia didedahkan sendiri oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais dan hanya menunggu laboran daripada pihak SPRM.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebdayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Hamzah kelmarin menjelaskan isu tersebut diharap tidak menjejaskan prestasi pasukan. Mala beliau berharap agar kemelut tersebut ditangani dengan baik.

Sementara itu, FAS belum lagi melantik secara rasmi pengganti Farhan Abdullah yang diketepikan sejak sebulan lebih yang lalu. Jawatan ketua jurulatih masih dipangku oleh Mohamad Denny Da’ail, sambil dibantu oleh Ian Gillan dan Ronald Hiksphoor.

FAKTA PERLAWANAN
* Sarawak mendahului 2-0 pada babak pertama.
* PDRM bangkit ledak lima gol pada babak kedua.
* Sarawak jaring gol pertama minit keenam (Gerogi Tom)
* Sarawak jaring gol kedua m-34 (Alif Hassan)
* PDRM jaring gol pertama m-47 (Fauzan)
* PDRM jaring gol kedua m-50 (Ronaldinho)
* PDRM jaring gol ketiga m-58 (Lee Chang Hoon)
* PDRM jaring gol keempat m-65 (Ronaldinho)
* PDRM jaring gol kelima m-80 (Ronaldinho)

Suara Sarawak