PENAHANAN 130 rakyat Malaysia dalam serbuan di sebuah pusat penipuan atau scam di Pakistan baru-baru ini membuka kembali persoalan besar mengenai kegiatan jenayah rentas sempadan, khususnya kemungkinan eksploitasi manusia dalam operasi sindiket penipuan antarabangsa.
Kes di Rawalpindi itu bukan sahaja membangkitkan persoalan bagaimana rakyat Malaysia boleh terlibat dalam operasi sedemikian, malah sama ada terdapat individu yang diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebelum dipaksa melakukan kegiatan jenayah.
Bagaimanapun, penahanan tersebut tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa semua individu terbabit merupakan mangsa pemerdagangan manusia.
Perkara itu perlu ditentukan melalui siasatan.
Mengapa pemerdagangan manusia terus berlaku?
Bagaimana sindiket mampu beroperasi dan terlepas daripada tindakan undangundang?
Jawapannya cukup membimbangkan.
Pemerdagangan manusia bukan sekadar jenayah, tetapi sebuah perniagaan haram yang menjadikan manusia sebagai komoditi untuk meraih keuntungan.
Ia berkembang dalam kegelapan, dilindungi rasuah, didorong permintaan pasaran dan disuburkan oleh kemiskinan serta keputusasaan manusia.
Setiap hari, lelaki, wanita dan kanak-kanak dieksploitasi seolaholah mereka barangan dagangan.
Malangnya, masyarakat sering memilih untuk memalingkan pandangan.
Pemerdagangan manusia merupakan bentuk perhambaan moden yang berlaku di bandar besar, kawasan luar bandar, ladang, kawasan sempadan, zon konflik dan destinasi pelancongan.
Walaupun eksploitasi seksual sering mendapat perhatian, ramai mangsa turut dipaksa bekerja dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian, perladangan, perikanan dan perkhidmatan domestik.
Lebih membimbangkan, ada yang dipaksa mengemis, mencuri, mengedar dadah, melakukan penipuan dalam talian atau dieksploitasi bagi tujuan pengambilan organ secara haram.
Modus operandi sindiket hampir sama.
Mangsa diperdaya melalui tawaran pekerjaan bergaji lumayan sebelum diperangkap dengan hutang, ugutan dan kekerasan.
Dokumen perjalanan dirampas, pergerakan diawasi dan hubungan dengan keluarga disekat.
Sesetengah mangsa diberikan dadah untuk mewujudkan kebergantungan atau sebagai kaedah mengawal mereka.
Sindiket pula beroperasi melalui rangkaian perekrut, pengangkut, majikan dan pengeksploitasi.
Lebih menyedihkan, perekrut kadangkala terdiri daripada individu yang dipercayai mangsa, termasuk rakan, saudara-mara atau jiran.
Dalam keadaan tertentu, pegawai yang tidak berintegriti turut bersubahat melindungi kegiatan tersebut.
Kemiskinan, ketidaksamaan ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan seseorang mudah terpedaya.
Prosedur permit pekerjaan yang mahal dan rumit, peluang pekerjaan sah yang terbatas serta kebimbangan majikan terhadap risiko pengambilan pekerja asing turut membuka ruang kepada sindiket menawarkan jalan pintas.
Sempadan yang mudah dibolosi pula memudahkan pemindahan mangsa antara negara.
Selagi wujud permintaan terhadap buruh murah, eksploitasi seksual dan perkhidmatan jenayah, sindiket akan terus mencari mangsa baharu.
Masalah menjadi lebih serius apabila penguatkuasaan lemah, siasatan tidak menyeluruh, kadar sabitan rendah dan rasuah membolehkan penjenayah mengelakkan hukuman.
Lebih malang, terdapat masyarakat yang menyalahkan mangsa, bukannya memberikan perlindungan.
Membanteras jenayah ini memerlukan kesungguhan politik, peruntukan mencukupi kepada agensi penguatkuasaan, perlindungan pemberi maklumat serta kerjasama risikan antarabangsa.
Penguatkuasaan mesti bebas daripada pengaruh politik dan kepentingan komersial, telus serta boleh dipertanggungjawabkan.
Kecuaian dan rasuah tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
Dalang sindiket, pengeksploitasi dan pihak yang mendapat keuntungan daripada kegiatan haram mesti berdepan tindakan tegas, manakala perlindungan mangsa perlu menjadi kewajipan undangundang.
Pada masa sama, laluan migrasi pekerjaan yang sah mesti dipermudah, pegawai barisan hadapan dilatih mengenal pasti mangsa dan peluang ekonomi tempatan diperluas.
Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab melaporkan pengambilan pekerja yang mencurigakan, menyokong program pemulihan mangsa serta memecahkan budaya berdiam diri.
Kes penahanan rakyat Malaysia di Pakistan sepatutnya menjadi peringatan bahawa dalam operasi jenayah rentas negara, garis pemisah antara pelaku jenayah dengan individu yang dipaksa melakukan jenayah perlu disiasat dengan teliti.
Jangan sampai mangsa dihukum, sedangkan dalang sebenar terus menikmati keuntungan.
Masyarakat yang berpaling daripada penderitaan golongan lemah sebenarnya turut bersubahat membiarkan kesengsaraan mereka berterusan.
Pemerdagangan manusia tidak akan berakhir selagi keuntungan penjenayah lebih diutamakan daripada maruah, keselamatan dan kebebasan manusia.






