KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempergiat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 menerusi penyelarasan jentera operasi yang melibatkan semua parti komponennya.
Timbalan Premier merangkap Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada penyelarasan sekretariat, publisiti, komunikasi dan pengurusan bagi memastikan jentera pilihan raya berada dalam keadaan bersedia apabila tiba masanya.
“Kita selesai mengadakan mesyuarat jawatankuasa operasi bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ini merupakan proses biasa yang dilaksanakan setiap kali menjelang pilihan raya bagi memastikan segala persediaan dapat diselaraskan dengan teratur,” katanya.
Uggah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat persediaan PRU Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu melibatkan wakil semua parti komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan telah diberikan tanggungjawab masing-masing untuk mengendalikan operasi pilihan raya dengan menggunakan kaedah pengurusan serta pengalaman daripada pilihan raya terdahulu.
Tambahnya, pengalaman luas dalam mengendalikan pilihan raya membolehkan jawatankuasa menyelaraskan keperluan operasi dengan lebih mudah tanpa perlu membangunkan semula keseluruhan sistem pengurusan.
“Setakat ini, tidak ada sebarang masalah besar yang dihadapi. Kita semua mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan pilihan raya.
“Kita juga sudah mempunyai kaedah dan panduan pengurusan sedia ada yang boleh digunakan bagi memastikan segala persiapan berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Malah, katanya, mesyuarat tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh singkat kerana kebanyakan mekanisme penyelarasan dan persediaan telah tersedia.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Sri Fatimah Abdullah; Naib Yang di-Pertua PBB, Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Setiausaha Agung PBB, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman serta beberapa yang lain.





