KUCHING: Sistem pegawai integriti yang dibangunkan Sarawak mendapat pengiktirafan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) kerana pendekatannya yang unik dan berpotensi dijadikan contoh kepada wilayah serta negara lain dalam memperkukuh tadbir urus dan pencegahan rasuah.
Dekan IACA, Drago Kos berkata, Sarawak menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam pembangunan sistem integriti, khususnya menerusi pelaksanaan sistem pegawai integriti yang disifatkannya sebagai antara pendekatan paling maju pernah ditemuinya.
Menurutnya, IACA bersedia membantu memperkukuh pelaksanaan sistem berkenaan, selain memperkenalkan pendekatan Sarawak kepada komuniti antarabangsa supaya dapat dijadikan rujukan dalam pembangunan tadbir urus berintegriti.

“Sarawak merupakan satu-satunya wilayah di dunia yang saya ketahui telah membangunkan sistem integriti ke tahap begitu tinggi menerusi sistem pegawai integriti.
“Apa yang kami lihat di sini benar-benar unik dan kami amat berbesar hati untuk membantu membangunkan sistem ini serta mempromosikan pencapaian Sarawak supaya dapat dicontohi pihak lain di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Sarawak dengan IACA yang berpangkalan di Austria, khususnya dalam pembangunan sistem integriti, amalan tadbir urus baik serta pencegahan rasuah.
Kerjasama berkenaan turut bertujuan meningkatkan keupayaan pegawai kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab pentadbiran secara telus dan berakauntabiliti, selaras dengan piawaian serta amalan terbaik antarabangsa.
Pada Isnin, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan IACA bagi memperluas kerjasama dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan latihan profesional berkaitan integriti.
MoU berkenaan ditandatangani Pengarah UNIONS, Wan Mohamad Wan Drahman dan Drago Kos, dengan disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak.
Kerjasama tersebut turut menyokong penganjuran Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau Sarawak 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 5 November di Kuching, dengan penyertaan 70 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sarawak.
Program empat hari itu memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa dalam pencegahan rasuah, penggunaan teknologi dan data raya, kepimpinan beretika serta pengukuhan mekanisme pelaporan salah laku dan akauntabiliti.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada langkah Sarawak memperkukuh kecekapan pentadbiran dan keyakinan terhadap institusi kerajaan, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.





