ARTIKEL

Juanda ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kuching, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

Aplikasi Khas Salur Aduan Melibatkan Agensi Kerajaan Negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ombudsman Sarawak kini dalam proses membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan berkaitan salah tadbir melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pembangunan aplikasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS)

“Insya-Allah kita kini dalam proses membangunkan aplikasi aduan Ombudsman bersama pihak SAINS. Laman sesawang kita yang dilancarkan tahun lalu merekodkan sekitar 800,000 capaian setakat ini.

“Perkembangan tersebut menunjukkan tahap kesedaran rakyat dengan fungsi jabatan tersebut semakin meningkat, sekali gus berpotensi meletakkan negeri ini dalam peta Ombudsman dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai delegasi Ombudsman Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Katanya lagi, ketika ini fokus utama Ombudsman Sarawak adalah berkaitan salah tadbir melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun negeri serta mana-mana agensi yang menerima emolumen daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat boleh menyalurkan aduan sekiranya berlaku salah tadbir dalam mana-mana agensi kerajaan negeri menerusi pelbagai platform termasuk surat rasmi, e-mel dan laman sesawang Ombudsman Sarawak.

“Orang ramai boleh mengemukakan bukti dan data berkaitan bagi membolehkan Ombudsman meneliti serta membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

“Surat yang dihantar kepada Ombudsman adalah sulit dan kerahsiaan dilindungi sepenuhnya, jadi rakyat tidak perlu takut atau bimbang.

“Saya sendiri juga menerima banyak e-mel berkaitan aduan selain daripada aduan yang diterima menerusi laman sesawang rasmi,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, sekiranya perkara yang dilaporkan berada di luar bidang kuasa Ombudsman, pihaknya akan memastikan aduan tersebut dipanjangkan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Ada aduan yang hanya berbentuk dakwaan tanpa bukti tetapi kita tetap ambil maklum, ada juga yang melibatkan unsur jenayah dan hal itu terus dipanjangkan kepada pihak polis.

“Manakala kes yang jelas mempunyai unsur rasuah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kita tidak akan campur tangan dalam perkara yang telah diputuskan mahkamah,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU