MUKAH: Seorang pengawal keselamatan mengalami kerugian RM1,300 selepas diperdaya menerusi peraduan dalam talian yang menawarkan sebuah kereta Honda HR-V dan wang tunai RM100,000.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa, 61, yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Mukah itu tertarik dengan iklan peraduan berkenaan di Facebook pada 9 Oktober lalu, kira-kira 6 petang.
Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan dalam iklan berkenaan sebelum mengikuti arahan diberikan.
“Selepas memenuhi syarat permainan tersebut, mangsa dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa dia merupakan pemenang bertuah dan berjaya memenangi sebuah kereta Honda HR-V.
“Mangsa seterusnya diminta memberikan gambar kad pengenalan dan gambar rumah kononnya bagi tujuan penghantaran hadiah berkenaan.
“Kemudian, mangsa membuat tiga transaksi pembayaran berjumlah RM1,300, iaitu RM300 pada 10 Oktober, RM500 pada 12 Oktober dan RM500 pada 13 Oktober lalu sebagai kos penghantaran hadiah yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan RM1,500 atas alasan kenaikan kos minyak bagi penghantaran hadiah berkenaan.
Menyedari keadaan itu mencurigakan, mangsa mengesyaki dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambah Rizal, siasatan awal mendapati percakapan mangsa dirakam bagi membantu siasatan, manakala semakan melalui rekod Sistem Maklumat Penipuan Komersial (CCIS) ke atas nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam transaksi berkenaan tidak menemukan sebarang rekod.
“Mangsa turut diberikan penerangan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan diminta menghubungi talian 997 untuk membuat aduan berkaitan penipuan itu,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran peraduan atau hadiah yang terlalu menarik, khususnya yang disebarkan melalui media sosial dan aplikasi pesanan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, memberikan maklumat peribadi atau menekan pautan mencurigakan sebelum mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran.

