ARTIKEL

Sarawak nilai projek pelancongan menerusi VAE sebelum pembiayaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menilai daya maju dan tahap kesediaan pelaksanaan setiap cadangan projek infrastruktur pelancongan menerusi proses Value at Entry (VAE) sebelum dipertimbangkan untuk pembiayaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting berkata, setiap cadangan projek dinilai berdasarkan empat dokumen utama sebelum dipertimbangkan untuk pembiayaan.

Katanya ia melibatkan latar belakang projek, dengan dokumen berkenaan memperincikan skop, tempoh pelaksanaan, kos, lokasi dan justifikasi projek yang dicadangkan, serta keselarasan projek dengan hala tuju strategik kerajaan seperti yang digariskan dalam dokumen perancangan strategik, termasuk Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2035 (STMP 2035).

Selain itu, ia juga melibatkan Indeks Kreativiti dan Matriks Kerangka Logik yang menggariskan hasil yang dijangka daripada projek serta manfaat yang bakal diperoleh.

Beliau menambah, dokumen Pengkategorian Perolehan juga diperlukan bagi mengukur tahap kerumitan teknikal projek, tahap kesiapsiagaan industri serta sebarang implikasi yang timbul berkaitan hal ehwal tanah.

Manakala, dokumen keempat ialah Gerbang Nilai 0, dengan senarai semak itu berfungsi sebagai panduan kepada kementerian dalam menentukan sama ada sesuatu projek wajar dipertimbangkan.

“Keempat-empat dokumen ini menyediakan ukuran kuantitatif bagi menilai setiap cadangan pembangunan infrastruktur.

“Kementerian dikehendaki mengadakan sesi libat urus antara agensi bagi memastikan setiap projek mendapat persetujuan dan sokongan pihak berkepentingan serta mengambil kira semua kos berkaitan. Pihak berkepentingan ini boleh merangkumi Pejabat Residen, penyedia utiliti dan agensi pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Serembu, Miro Simuh berhubung proses yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk menilai cadangan projek infrastruktur pelancongan sebelum dipertimbangkan untuk pembiayaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Sebastian berkata Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kini menyelia sebanyak 33 projek di seluruh Sarawak dengan jumlah keseluruhan bernilai RM486,392,000.

Katanya ia merangkumi 21 projek yang dibiayai kerajaan negeri berjumlah RM408,382,000; satu Projek Rakyat berjumlah RM52,000,000 dan 11 projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan berjumlah RM26,010,000.

“Projek-projek ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, Sebastian berkata perancangan dan penetapan keutamaan projek pelancongan mengambil kira keselarasan dengan agenda pembangunan negeri, objektif dasar, impak sosioekonomi, nilai untuk wang, potensi pertumbuhan pelancongan, kemampanan serta tahap kesediaan projek untuk dilaksanakan.

Katanya selain tahap kesediaan projek, kementerian turut menilai setiap cadangan berdasarkan potensi sumbangannya ke atas hasil utama pelancongan di bawah PCDS 2030 termasuk memperkukuh pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan Sarawak dan meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu mewujudkan 25 peratus peluang pekerjaan berkaitan pelancongan; mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 7.5 peratus dalam ketibaan pengunjung; meningkatkan jualan kraf tangan daripada RM23 juta kepada RM40 juta dan memperluas penyertaan dalam pelancongan berasaskan komuniti sebanyak 30 peratus.

Dalam pada itu, Sebastian berkata prestasi pelancongan Sarawak sepanjang dua tahun lalu menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi dan pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan bagi menyokong sektor pelancongan.

Menurutnya pada 2025, ketibaan pengunjung meningkat kepada 4.97 juta berbanding 4.83 juta pada 2024, manakala pendapatan pelancongan meningkat daripada RM12.45 bilion pada 2024 kepada RM12.67 bilion pada 2025.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU